Abdul Rashid pengerusi baharu Kumpulan CMSB
KUCHING: Cahya Mata Sarawak Berhad ( CMSB) mengumumkan pelantikan pengerusi baharu kumpulannya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf berkuat kuasa 1 Oktober depan.
Abdul Rashid akan mengambil alih tanggungjawab daripada Pengerusi Interim Kumpulan Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib yang kembali memegang jawatan timbalan pengerusi Kumpulan CMSB.
Tan Sri Abdul Rashid memulakan kariernya pada 1970 dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Malaysia selain berkhidmat sebagai majistret, presiden Mahkamah Seksyen dan peguam kanan persekutuan bagi Jabatan Cukai Pendapatan.
Beliau meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada 1997 untuk meneruskan kerjayanya sebagai peguam dan kemudiannya dalam perniagaan.
Abdul Rashid membina kerjaya yang lama dan cemerlang dalam pelbagai industri dan mempunyai rekod prestasi yang disegani dalam hal ehwal kehakiman dan kerajaan.
Beliau menjadi salah seorang penasihat undang-undang utama kepada konglomerat Renong dengan pembabitan dalam pelbagai transaksi kerajaan persekutuan dalam pelbagai projek infrastruktur di seluruh negara.
Beliau juga merupakan pesuruhjaya sumpah dan notari awam selama bertahun-tahun.
Sejak 1997, Abdul Rashid telah berkhidmat dalam beberapa jawatan utama dalam syarikat korporat Malaysia.
Ini termasuk menjadi pengerusi S P Setia Berhad, Loh & Loh Corporation Berhad, Pohmay Holdings Berhad dan SMIS Corpora- tion Berhad - semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Selepas tamat jawatannya sebagai pengerusi S P Setia Berhad, Abdul Rashid menubuhkan Eco World Development Group Berhad, sebuah syarikat awam yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad dan sebahagiannya terbabit dalam pembangunan hartanah.
Beliau kini merupakan pengarah pengasas syarikat terbabit.
Abdul Rashid juga pernah dilantik sebagai pengarah Stamford College Berhad pada 27 Jun 1994 dan menunjukkan fleksibiliti dan pendekatan dinamiknya kepada pelbagai sektor yang berbeza di mana beliau dapat menyesuaikan pengalamannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Korporat Datuk Isaac Lugun dalam kenyataan mengenai pelantikan itu, berkata: “CMSB telah berkembang dengan begitu pesat sekali terutama perspektif urus tadbir korporat di bawah bimbingan Yang Amat Mulia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail sejak 12 tahun lalu dan pada hari ini memberi penghargaan legasinya yang mantap dan pencapaiannya yang baik.
“Selepas persaraan YAM Tan Sri Syed Anwar Jamalull- ail, Dato Sri Mahmud dilantik sebagai pengerusi Interim Kumpulan sementara CMSB mencari seorang pengerusi bebas.
“Kami sekarang gembira mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Rashid sebagai pengerusi Kumpulan bebas kami yang baharu untuk mengukuhkan lagi kepercayaan teras kami terhadap urus tadbir korporat yang baik bagi memastikan kebebasan ditegakkan sepanjang masa.
“Dengan pengalamaannya selama bertahun-tahun dan ilmu dalam dunia perniagaan dan korporat, pelantikan Tan Sri Abdul Rashid dijangka memainkan peranan amat penting kepada pertumbuhan CMSB untuk melanjutkan kemajuan kami sebagai kumpulan syarikat yang merupakan asas kepada pembangunan dan perkembangan Sarawak pada masa depan.
Saya tidak ragu bahawa pengalamannya yang luas dalam sektor industri khususnya, relevan kepada CMSB untuk memberi khidmat yang baik kepada empat pemegang kepentingan utama kami iaitu pemegang saham, masyarakat, pelanggan dan pekerja kami,” katanya.
Tambah beliau, dalam semua kapastinya selama ini, Abdul Rashid telah mempamerkan kekuatan menakjubkan dan kepimpinan yang luar biasa yang telah menghasilkan kepentingan yang bertahan lama bagi organisasi di mana beliau terlibat sama.
“Pada asasnya, beliau merupakan seorang pemimpin yang percaya bahawa perniagaan dapat dan haruslah dinamik dan membawa transformasi dengan mengukuhkan kehidupan, mencapai pertumbuhan kukuh dan membina masyarakat yang lebih mantap,” katanya.