Utusan Borneo (Sarawak)

‘Datuk Seri’ antara 99 individu ditahan terlibat ‘Macau Scam’

-

KUALA LUMPUR: Seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ antara 99 individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket ‘Macau Scam’ di Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata pada serbuan 1.40 petang itu, sindiket yang beroperasi sebagai pusat panggilan itu menjadikan bangunan pejabat mewah berkenaan sebagai markas untuk menawarkan pelaburan kepada pelanggan di China.

Beliau berkata 99 individu yang ditahan itu terdiri daripada 78 lelaki dan 21 wanita berumur antara 14 hingga 44 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

“Daripada jumlah itu juga, seramai 93 adalah warga China manakala enam adalah warga tempatan.

“Semasa serbuan, kesemua suspek sedang membuat panggilan menawarkan perkhidmat­an pelaburan saham kepada pelanggan warga China yang menjanjika­n pulangan lumayan,” katanya pada sidang media mengenai Macau Scam di sini, semalam.

Amar Singh berkata pihaknya mendapati sindiket ini memperoleh keuntungan lebih RM50,000 sebulan, dan menjadikan negara ini sebagai pusat kegiatan mereka kerana terdapat penggunaan Voice Over Internet Protocol (VOIP) bagi mengendali­kan panggilan luar negara.

Beliau berkata antara barang milik sindiket itu yang dirampas adalah telefon bimbit sebanyak 169 unit, komputer riba (114 unit), buku catatan (19 unit), pasport (16 keping) dan sebuah kereta Toyota Vellfire.

“Sindiket yang mensasarka­n kebanyakan mangsa warga China ini tidak beroperasi pada satu tempat sahaja, ia untuk menyukarka­n kegiatan mereka dikesan. Suspek akan memperdaya­kan mangsa untuk membeli saham yang kononnya diyakini memberi keuntungan dalam masa yang singkat,” katanya.

Amar Singh berkata kesemua suspek masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Dalam perkembang­an yang sama, Amar Singh mendedahka­n Macau Scam mengakibat­kan kerugian lebih RM100 juta setiap tahun. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PENIPUAN: Amar (tiga kiri) pada sidang media berkenaan tangkapan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di Menara KPJ, Kuala Lumpur, semalam.
— Gambar Bernama PENIPUAN: Amar (tiga kiri) pada sidang media berkenaan tangkapan sindiket penipuan ‘Macau Scam’ di Menara KPJ, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia