Utusan Borneo (Sarawak)

51 penagih dadah termasuk dua Myanmar ditahan di Butterwort­h

-

BUTTERWORT­H: Seramai 51 penagih dadah termasuk dua lelaki Myanmar ditahan dalam Ops Sarang yang dijalankan di beberapa lokasi yang menjadi sarang penagihan dadah di sekitar Butterwort­h, sejak kelmarin hingga awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menjalanka­n operasi di kawasan Kampung Ujung Batu, Bagan Dalam dan Kampung Perlis bermula jam 10 pagi kelmarin hingga 5 pagi semalam.

“Dalam operasi itu polis menahan 51 lelaki termasuk dua warga Myanmar yang sedang menghisap dadah di sarang penagihan dadah di kawasan berkenaan. Semua mereka berusia 18 hingga 60 tahun,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata semasa operasi itu ada beberapa penagih yang cuba melarikan diri dengan masuk ke kawasan hutan berhampira­n, namun mereka berjaya ditahan polis kerana pihaknya terlebih dahulu mengepung sarang penagihan dadah tersebut.

Katanya dalam operasi itu, polis turut merampas heroin seberat 105.7 gram (g), syabu (4g) serta ganja (0.6g) daripada 19 penagih dadah berkenaan dan semuanya bernilai RM4,320.

Noorzainy berkata ujian air kencing mendapati 51 lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh dan penganggur itu positif dadah dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun kerana cuba mengugut dan menyerang bekas isterinya dengan sebilah parang panjang dalam kejadian di Jalan Rozhan, Bukit Mertajam dekat sini, kelmarin.

“Semasa ditahan lelaki yang bekerja mekanik itu dalam perjalanan ke rumah bekas isterinya dan dia bertindak sedemikian kerana cemburu serta bengang dengan wanita tersebut yang didakwa sering membawa masuk lelaki ke rumah.

“Suspek berjaya ditahan polis pada jam 10 malam dan hasil pemeriksaa­n dalam kereta yang dipandunya, polis merampas sebilah parang panjang yang akan digunakan untuk mengugut dan menyerang bekas isterinya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia