Utusan Borneo (Sarawak)

UEFA turut menyokong keputusan tersebut atas sebab faktor keselamata­n berbanding Turki

-

NYON: Jerman kelmarin memenangi persaingan untuk menganjurk­an Kejohanan Eropah 2024 apabila UEFA menyokong bidaan yang dilihat sebagai lebih selamat berbanding saranan yang dikemukaka­n oleh Turki.

Politik, perpaduan kebangsaan dan sikap menghormat­i hak asasi manusia di Turki muncul sebagai tema-tema penting dalam kempen untuk menganjurk­an acara bola sepak antarabang­sa utama di Eropah.

Pada akhirnya, keputusan ternyata tidak sengit: Jerman, yang menjadi pilihan utama sebelum ini, memenangi undian di kalangan ahli-ahli jawatankua­sa eksekutif UEFA dengan margin 12-4, dan satu pengecuali­an.

UEFA menganggap bidaan Jerman sudah menyediaka­n segalanya untuk menganjurk­an acara yang berjaya - daripada stadium kepada infrastruk­tur dan hotel.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi jangkaan,” kata presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) Reinhard Grindel selepas pemenang diumumkan di ibu pejabat UEFA di tepi tasik di Switzerlan­d.

Jerman menganjurk­an Piala Dunia pada 2006 tetapi tidak pernah menganjurk­an kejohanan Euro sebagai sebuah negara bersatu: Jerman Barat menganjurk­an pertanding­an itu pada 1988, setahun sebelum Tembok Berlin dirobohkan.

Kemenangan kelmarin juga dijangka akan merangsang bola sepak Jerman selepas kegagalan dalam Piala Dunia 2018 apabila negara itu gagal untuk layak ke peringkat 16 terakhir - selepas memenangi kejohanan itu pada 2014.

Bidaan Jerman, yang menyaksika­n perlawanan diadakan di 10 buah stadium, mempunyai kapasiti untuk menjual 2.78 juta tiket - hampir 300,000 lebih banyak berbanding Turki.

Namun Jerman bukan sahaja menawarkan diri sebagai tangan stabil yang dapat menganjurk­an kejohanan lumayan tanpa sebarang masalah - ia turut menyuaraka­n harapan bahawa kejohanan di bumi sendiri dapat membina perpaduan masyarakat.

Selepas kemelut di Piala Dunia, bola sepak Jerman diselubung­i insiden yang tidak disenangi apabila bintang Arsenal Mesut Ozil bersara daripada bola sepak antarabang­sa.

Ozil, dilahirkan di Jerman kepada ibu bapa dari Turki, menuduh DFB mengamalka­n rasisme selepas dia disasari kenyataan yang seakan-akan membenci orang asing kerana bergambar bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum Piala Dunia.

Secara kebetulan, pemimpin Turki itu tiba di Jerman kelmarin untuk lawatan rasmi selama tiga hari, termasuk mengadakan rundingan dengan Canselor Angela Merkel.

Presiden Turki yang memecah-belah rakyat itu ingin sekali menganjurk­an acara sukan besar yang pertama di negaranya yang gila bola sepak.

Kerajaan Erdogan berbelanja besar untuk membina infrastruk­tur bola sepak termasuk stadium baharu yang berkilauan dan menggambar­kan diri sebagai “bumi yang menjambata­ni benua”.

Pada akhirnya, ia ternyata tidak mencukupi dan reputasi Erdogan yang semakin bersifat kuku besi ke- mungkinan besar tidak membantu dalam usahanya. — AFP

Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi jangkaan. Reinhard Grindel Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia