Utusan Borneo (Sarawak)

Sabah terima RM1 juta untuk pembiayaan kenderaan Unit Penyelamat Hidupan Liar

-

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM1 juta untuk pembelian kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah.

Sumbangan itu disampaika­n kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal oleh Pengasas Orang Utan Appeal UK (OAUK) Susan Sheward di Pusat Pentadbira­n Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

“Hari ini saya mempunyai peluang yang cukup baik untuk bertemu dengan orang yang hebat dan berkeboleh­an dari United Kingdom, iaitu Susan Sheward.

“Dia mempunyai keupayaan yang cukup hebat untuk menubuhkan sebuah badan amal dikenali OAUK dengan kakitangan yang kecil,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini OAUK telah membiayai RM11.5 juta untuk pelbagai aktiviti pemulihara­an orang utan, termasuk kakitangan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya.

“Pada kali ini, Susan telah kembali membantu kita dengan pembiayaan khas sebanyak RM1,000,000.

“Ini akan membantu mem- biayai pembelian tiga unit kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai sepenuhnya untuk Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.

Shafie berkata seperti yang diketahui, Unit Penyelamat Hidupan Liar telah menyelamat­kan hidupan liar di hutan Sabah selama tujuh tahun lalu dan telah menjadi sebahagian daripada keutamaan Jabatan Hidupan Liar untuk menguruska­n hidupan liar di negeri ini.

“Susan juga telah memaklumka­n kepada saya sebelum ini bahawa dia akan membiayai pemindahan orang utan yang lain dari Sepilok ke Kawasan Rizab Teras Hidupan Liar Tabin dengan helikopter.

“Ia satu usaha yang sangat mahal tetapi langkah yang sangat penting ke arah pemulihara­an populasi orang utan liar di Sabah,” jelasnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia