Perbuatan sesetengah petani ambil jalan singkat dikhuatiri bunuh peluang orang lain
KLUANG: Kerajaan tidak akan mempertahankan mana- mana petani yang melanggar peraturan dalam penggunaan racun serangga terutamanya terhadap produk yang dieksport keluar negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata kementeriannya mengharapkan petani di negara ini tidak akan mengambil jalan singkat bagi memasarkan produk yang ‘ cantik’ tetapi melanggari peraturan ditetapkan.
“Bukan sahaja untuk dieksport tetapi sebenarnya kita juga mengambil langkah yang sama bagi mana-mana produk pertanian dari luar (diimport) yang melanggar peraturan itu.
“Bagi tindakan Singapura pada Khamis lalu yang menyekat kemasukan salad kita, sehingga kita terpaksa menarik balik di pasaran negara berkenaan, kita jadikannya satu pengajaran,” katanya kepada pemberita pada pogram Hari Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor 2018, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Sallehuddin Hassan serta Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.
Salahuddinmengulasberkaitan penarikan semula produk Iceberg Lettuce (sejenis salad) yang dieksport ke Singapura kerana dicemari bahan kimia fipronil yang turut dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh.
Beliau menegaskan, perbuatan sesetengah petani yang mengambil jalan singkat itu dikhuatiri akan membunuh peluang petani lain bagi memasarkan produk masingmasing keluar negara.
Menurut Salahuddin, pihaknya akan memberikan nasihat kepada petani supaya perkara berkenaan tidak berulang kerana ia boleh memalukan negara sekiranya terdapat produk yang dipulangkan atau dihapuskan.
“Sebenarnya kita mempunyai undang- undang yang berkaitan, di mana sekiranya mereka (petani) gagal mematuhi peraturan melalui Seksyen 13, Akta Makanan 1983.
“Sekiranya mereka ini di- dapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau keduaduanya sekali,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata pihaknya berharap agar bajet kementeriannya tidak akan dipotong sebaliknya ditambah supaya sektor pertanian dapat dimajukan.
“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed untuk mempertimbangkan permintaan berkenaan.
“Saya harap ianya (tambahan bajet) akan diluluskan bagi kesesuaian masa kini dan tambahan peruntukan berkenaan kepada para petani dan mereka yang berada di bawah kementerian ini akan membantu,” katanya. — Bernama
Bukan sahaja untuk dieksport tetapi sebenarnya kita juga mengambil langkah yang sama bagi mana-mana produk pertanian dari luar (diimport) yang melanggar peraturan itu. Datuk Salahuddin Ayub Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani