Utusan Borneo (Sarawak)

Anak syak ibunya mangsa kemalangan di Kuala Kangsar

-

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki percaya seorang daripada lima mangsa yang rentung dalam kemalangan di Km255.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora kelmarin adalah ibunya.

Tan Win Hen, 31, berkata ibunya Lee Len Ying, 60, yang dalam perjalanan menghadiri aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Taiping gagal dihubungi sejak kelmarin.

Selain itu, Tan juga mendakwa kenderaan jenis Kia Forte yang terlibat dalam nahas tersebut adalah miliknya.

“Apabila saya mengetahui mengenai kemalangan yang berlaku di media sosial, saya terus menghubung­i telefon bimbit ibu saya berkali-kali namun gagal.

“Ibu saya bersama mangsa yang lain dalam perjalanan untuk menghadiri aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Taiping. Ahli gereja turut menghubung­i saya bertanyaka­n di mana ibu saya berada sedangkan ahli gereja lain sudah sampai ke gereja,” katanya kepada pemberita di Bahagian Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini semalam.

Sementara itu, seorang wanita yang percaya anak perempuann­ya antara yang maut dalam kemalangan tersebut, berkata kali terakhir dia berbual dengan anaknya menerusi telefon ialah kira-kira 8 pagi kelmarin.

“Dia juga ada menghantar sekeping gambar kepada saya sedang bersarapan bersama- sama seorang anak lelakinya berusia setahun pada 9 pagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa individu dipercayai anggota keluarga mangsa kemalangan hadir di hospital berkenaan sejak 9 pagi semalam untuk melakukan ujian asid deoksiribo­nukleik (DNA) bagi proses pengecaman mayat.

Dalam nahas 11.47 pagi itu, lima individu rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler. Pemandu treler berusia 41 tahun tersebut ditahan polis di lokasi kejadian sejurus kemalangan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia