Utusan Borneo (Sarawak)

Van sekolah terbalik: Tiga pelajar parah, 10 cedera

-

KUALA NERUS: Tiga pelajar parah manakala 10 lagi cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Tunggal di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Terengganu Supt Abd Razak Hasan berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.15 pagi semalam apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Jalan Padang Air menghala ke pusat bandar mengelak sebuah kenderaan, lalu melanggar belakang van berkenaan.

“Ia mengakibat­kan van itu terbabas dan terbalik manakala kenderaan pacuan empat roda itu terbabas sehingga melanggar pokok atas pembahagi jalan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 ( 1)( A) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mangsa merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, dan yang turut cedera ialah pemandu van terbabit, manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Penguasa Kanan Bomba ll Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 6.21 pagi.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluark­an semua mangsa dari dalam kenderaan sebelum dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, De Pierre Eng Cjunn, 15, berkata ketika kejadian hari masih gelap dan ketika itu hujan renyai.

“Van kami bergegar selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari belakang. Keadaan jadi kelam-kabut dan pelajar perempuan menjerit ketakutan. Saya dan beberapa rakan berjaya keluar melalui cermin tingkap yang pecah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia