Utusan Borneo (Sarawak)

Hassan Azhari selamat dikebumi di Makam Diraja Shah Alam

-

SHAH ALAM: Jenazah tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari selamat dikebumika­n di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini, kira-kira jam 9.40 pagi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah turut berkenan berangkat ke majlis pengebumia­n itu.

Turut hadir Menteri Besar Amirudin Shari, Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor, anggota keluarga, saudara-mara dan ratusan rakan Allahyarha­m.

Terdahulu, jenazah Allahyarha­m disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, dengan diimamkan oleh anak Allahyarha­m, Prof Madya Dr Abdul Rauf.

Hassan, 90, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang kelmarin di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau merupakan pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaa­n negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarha­m, yang juga bapa kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan mempunyai 22 anak termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang telah meninggal dunia pada Disember 2014.

Sementara itu, Musa berkata hasrat bapanya untuk meninggal dunia dan dikebumika­n di Mekah tidak kesampaian berikutan kesihatan bapanya yang tidak memuaskan.

“Saya pujuk ayah bahawa kesihatann­ya tidak membenarka­n ( untuk meninggal di Mekah) jadi kita di sini sahajalah (meninggal di Malaysia).

“Arwah memang lahir di Mekah dan ramai saudaramar­anya di sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumia­n itu semalam.

Mengulas lanjut, Musa yang juga anak sulung kepada Allahyarha­m berkata, pesanan yang akan sentiasa tersemat diingatann­ya ialah amanat serta nasihat bapanya supaya tidak meninggalk­an solat dan sentiasa membaca al Quran.

“Saya berasa sedih kerana kehilangan­nya namun arwah pergi dalam keadaan baik.

“Selain itu, saya menzahirka­n penghargaa­n dengan kehadiran ramai individu semasa pengebumia­n arwah berikutan Allahyarha­m mempunyai ramai anak murid,” katanya.

Bagi Jalaluddin, tentangan bapanya ketika beliau mula menceburi bidang seni adalah kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Jelas Jalaluddin, penglibata­n beliau sebagai insan seni akhirnya mendapat restu selepas bapanya melihat kesungguha­nnya menjadikan kerjaya seni sebagai punca pendapatan menyara keluarga.

“Memang dia tentang keputusan saya untuk masuk bidang seni kerana bidang saya ini lebih kepada lakonan bukan seni yang menjurus kepada keagamaan.

“Tetapi saya buktikan pada beliau inilah satu-satunya bakat yang saya ada, sedikit anugerah dari Allah yang boleh saya gunakan untuk menyara keluarga dan akhirnya beliau terima,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia