Utusan Borneo (Sarawak)

Kehadiran PM bantu lonjak sokongan kepada Anwar: Wan Azizah

-

PORT DICKSON: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin gandingan bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir hari ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mampu melonjakka­n lagi sokongan kepada Ketua Umum PKR itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga merupakan sesuatu yang positif kepada kempen Anwar.

“Alhamdulil­lah kita memang rasa bangga dan terharu kerana Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selalunya tidak datang kempen Pilihan Raya Kecil namun dia pilih untuk datang ke Port Dickson untuk beri sokongan dan kempen kepada saudara Anwar,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Karnival Mini Keluarga Bestari di Taman Intan Perdana, di sini.

Dr Mahathir dijadualka­n hadir ke Port Dickson malam ini dan akan berganding­an semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongka­n penyandang­nya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari mengundi ditetapkan pada 13 Okt manakala pengundian awal 9 Okt.

Parlimen Port Dickson memiliki 75, 770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lainlain kaum ( dua peratus). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia