Sarawak dan Brunei akan bekerjasama promosi destinasi pelancongan berkembar
MIRI: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan Royal Brunei Airlines ( RBA) mempromosikan destinasi pelancongan berkembar membabitkan Brunei Darussalam dan Sarawak.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, RBA ketika ini menawarkan penerbangan langsung ke Korea, Jepun, dan China.
Bahkan, RBA itu bukan sahaja mengembangkan pesawat daripada 10 kepada 14 pesawat, malah menambah penerbangan baharu ke Hangzhou, Nanning, Shanghai, Hong Kong serta Haikou dan Changsha.
“Pelancong yang datang melawat ke Brunei Darussalam boleh meneruskan lawatan ke Sarawak, kita sedang berusaha untuk mempromosikan destinasi berkembar ini bersama RBA,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama Operator Pelancongan Korea (Sukan Golf) di Miri semalam.
Lee berkata, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan RBA di Bandar Seri Begawan bulan lalu bagi tujuan tersebut.
“Selain melawat Miri, mereka juga boleh datang ke Kuching sebab itulah kami mencadangkan penerbangan dari Brunei ke Kuching.
“Kami sedang meneliti kawasan yang berpotensi untuk kami bekerjasama di mana ia membawa kepada situasi menang-menang kepada keduadua pihak,” ujarnya.
Semalam, serombongan Operator Pelancongan Korea telah bertandang ke Miri untuk meninjau kemudahan dan gelanggang golf yang terdapat di Miri.
“Rata-rata mereka berpuas hati dengan kemudahan golf di Miri dan untuk rekod, padang golf Eastwood Valley & Coutry Club Miri antara 10 terbaik di Malaysia yang mendapat perhatian pemain golf asing,” ujarnya.
Bahkan, kemudahan padang golf itu terbuka kepada pemain asing bermula dari Isnin hingga Jumaat sementara Sabtu dan Ahad untuk penganjuran kejohanan golf.
Selain meninjau kemudahan sukan golf, rombongan Korea itu juga dibawa melawat beberapa destinasi pelancongan di Miri selain merasai makanan tempatan serta mempelajari budaya tempatan.
“Apabila musim sejuk di Korea, maka mereka akan datang untuk bermain golf di sini selain melancong di beberapa destinasi menarik di Sarawak,” jelasnya.
Lee menambah, usaha untuk mempromosikan kemudahan lain kepada Korea juga sedang dibincangkan termasuk mengalakkan pelajar dari negara itu belajar bahasa Inggeris di Universiti Curtin Sarawak.