Perang bendera, poster meriah menjelang pengundian awal hari ini
PORTDICKSON: Menjelang hari pengundian awal hari ini, bahang kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson semakin dirasai dengan parti-parti dan individu yang bertanding mula meningkatkan pemasangan bendera dan poster di serata daerah ini.
Kalau sebelum ini perang bendera agak suram, jentera kempen calon khususnya daripada parti politik, dilihat semakin agresif menggantung dan memasang bendera, poster serta kain rentang yang memaparkan gambar calon serta logo parti.
Seorang petugas jentera Pakatan Harapan ( PH), Mohammad Nor Yusof, 67, berkata, secara purata jentera partinya akan memasang dan memacak sekurangkurangnya 300 bendera setiap malam.
“Lebih 300 bendera dipacak setiap hari...ini lagi seminggu nak mengundi, kami tak menang tangan nak pasang bendera.
“Atas faktor keselamatan petugas dan orang awam, kebanyakan kerja memasang bahan kempen dibuat pada lewat malam,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, semalam.
Katanya, bahan semula jadi seperti buluh dijadikan sebagai tiang bendera kerana ia lebih kukuh dan tahan lama selain dapat menjimatkan kos berkempen.
Sementara itu, tinjauan rambang Bernama mendapati bendera parti dan poster calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PAS, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta calon Bebas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terus mendominasi fasa terakhir kempen yang memasuki hari ke-10, di kebanyakan tempat.
Selain itu, bagi calon Bebas seperti personaliti media sosial Stevie Chan Ken Leong, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen serta bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan, poster yang memaparkan wajah mereka agak kurang mungkin disebabkan kekangan kos.
Biar pun ‘perlahan’ dari segi penggunaan bahan kempen berbanding calon-calon parti politik, Stevie Chan, Mohd Saiful Bukhari, Kan dan Lau tetap agresif berkempen menerusi program tinjauan serta menemui pengundi secara bersemuka bagi meraih undi dan mengedarkan risalah promosi calon. — Bernama