Gegaran susulan cetus panik di barat laut Haiti
GROS-MORNE: Gegaran susulan yang kuat menyebabkan penduduk yang panik lari ke jalan raya kelmarin, beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 5.9 membunuh sekurang-kurangnya 12 orang di sepanjang pantai barat laut Haiti.
Wartawan AFP di negara Caribbean yang mempunyai 11 juta penduduk itu melaporkan gegaran kuat yang dirasai di sekitar bandar tepi pantai Port-de-Paix.
Tidak dapat dipastikan segera sama ada ia telah menyebabkan kerosakan yang serius.
Gempa bumi Sabtu lepas, yang berpusat 19 kilometer di barat laut Port-de-Paix, mencederakan lebih 188 orang, merosakkan atau meratakan beberapa buah rumah dan bangunan awam.
Gegaran itu mengejutkan ibu negara Port-de-Prince, yang mencetuskan ketakutan di kalangan penduduk yang masih belum pulih daripada gempa bumi dahsyat pada 2010 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 200,000 orang dan mencederakan 300,000 lagi.
Presiden Jovenel Moise dan Perdana Menteri Jean-Henry Ceant melawat kawasan terjejas untuk meninjau kerosakan dan menyelaras usaha bantuan.
Moise tweet gambar dari Port-de-Paix, di mana dia mendengar taklimat di pusat tindakan kecemasan di wilayah terbabit, berjumpa dengan mangsa, meninjau kerosakan kepada ibu pejabat polis dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai tempatan. Dia melaporkan melihat kerosakan kepada bangunan lain juga.
Moise turut melawat GrosMorne, kira-kira 30 batu ke bahagian tenggara. Dia memuji penduduk kerana “menunjukan solidariti dan sokongan” dan menggesa mereka untuk terus bertenang.
Gempa bumi Sabtu lepas, yang dapat dirasai di seluruh negara, melanda pada jam 8.10 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 7.3 batu yang cetek.
Kerajaan berkata lapan daripada 12 mangsa maut di Port- de- Paix, ibu kota daerah Nord-Ouset di Haiti, manakala tiga terkorban di Gros-Morne dan seorang di Saint-Louis-du-Nord.
Bandar Chansolme dan pulau kecil Tortuga turut mengalami kerosakan, kata pegawai.
“Saya menggesa populasi untuk terus bertenang,” kata Moise dalam satu tweet Sabtu lepas.
Beberapa kecederaan dialami ketika orang ramai panik selepas gempa awal, kata agensi pelindungan sivil.
Agensi itu mengesahkan beberapa buah rumah musnah atau rosak tetapi tidak memberi perangkaan khusus.
Daerah Nord- Ouest merupakan bahagian paling daif di negara miskin Haiti, dan banyak kawasan terpinggir disebabkan oleh keadaan jalan yang buruk.
Bagaimanapun aktiviti yang luar biasa kelihatan di tapak Gros-Morne di mana sebuah pusat komuniti telah runtuh. Penduduk yang menggunakan gergasi atau tangan mereka berusaha untuk mendapatkan batang sokongan besi daripada puing untuk dijual semula, sebelum mereka diusir oleh pihak berkuasa.
Pengawal bangunan itu, yang tidur pada waktu gempa melanda, maut.
Seorang wanita yang melihat bencana itu berlaku, Rosette Jerome yang berusia 49 tahun, berkata tidak ada orang di kawasan kejiranannya maut tetapi menambah seorang kanak-kanak cedera serius selepas dihempap oleh konkrit yang terjatuh.
Pegawai Haiti berkata konvoi yang membawa makanan dan air minuman sedang menuju ke zon bencana.
Satu tweet dari kedutaan Amerika Syarikat di Haiti menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terjejas dan mereka bersiap sedia untuk membantu dalam usaha bantuan, jika dipinta.
Wakil Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu di Haiti, Helen La Lime, turut menawarkan bantuan. — AFP