Operasi kaunter pertanyaan SST dilanjut, cukai alat sapu lantai dikurangkan, kata Lim
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan melanjutkan perkhidmatan kaunter pertanyaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan ( SST) yang dibuka sejak Selasa lepas sehingga ke tarikh yang akan ditetapkan kelak, dalam usaha mengatasi kekeliruan membabitkan pelaksanaan cukai itu, terutamanya kepada kalangan peniaga.
Menterinya Lim Guan Eng dalam satu kenyataan semalam berkata setakat ini, seramai 1,300 peniaga telah mendapat manfaat perkhidmatan kaunter yang dibuka di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan selama empat hari.
“Sebanyak 10 kios dan 12 kaunter pertanyaan telah dibuka sepanjang tempoh itu yang turut dianjurkan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Dua pegawai khas pejabat kementerian dan pegawai JKDM juga dapat menangani sebahagian besar aduan, permasalahan dan pertanyaan berkenaan pelaksanaan SST manakala perkara melibatkan dasar SST yang tidak dapat diselesaikan di peringkat JKDM telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Selain itu, Lim berkata susulan maklum balas yang diterima membabitkan SST, kementerian tersebut telah menurunkan kadar cukai jualan barangan tertentu yang digunakan golongan kurang berkemampuan.
“Kementerian Kewangan bersama JDKM telah m e m u t u s k a n u n t u k mengurangkan cukai jualan SST bagi alat penyapu lantai daripada 10 peratus kepada lima peratus yang lebih rendah daripada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa penambahbaikan akan turut dilaksanakan oleh JKDM pada bulan ini bagi memudahkan peniaga selain memastikan SST tidak akan meningkatkan kos yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. — Bernama