Ankara tuntut bukti daripada Riyadh
Erdogan mahu melihat rakaman kamera menunjukkan Khashoggi tinggalkan konsulat
ANKARA: Ankara menuntut agar pegawai Arab Saudi membuktikan dakwaan mereka bahawa wartawan dan pengkritik Riyadh yang hilang, Jamal Khashoggi, meninggalkan konsulat Saudi di Istanbul, manakala Amerika Syarikat meminta siasatan terperinci ke atas kehilangannya.
Presiden Recep Tayyip Erdogan membuat kenyataan itu kelmarin selepas laporan media menyebut kerajaannya meminta kebenaran daripada pihak berkuasa Saudi untuk memeriksa premis konsulat di Istanbul.
Khashoggi, seorang penyumbang kepada akhbar Washington Post, hilang Selasa lepas setelah dia memasuki konsulat itu untuk mendapatkan dokumen rasmi sebelum mengahwini seorang wanita Turki.
“Pegawai konsulat tidak dapat menyelamatkan diri dengan menyatakan dia meninggalkan bangunan.
“Anda tidak ada kamerakah?” kata Erdogan pada satu sidang akhbar di Budapest.
“Jika beliau keluar, anda perlu membuktikannya dengan rakaman.
“Mereka yang bertanya kepada pihak berkuasa Turki di mana beliau berada harus bertanya apa yang telah berlaku.”
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dalam satu kenyataan lewat kelmarin menggesa kerajaan Arab Saudi untuk menyokong siasatan terperinci ke atas kehilangan Khashoggi dan telus mengenai hasil siasatan itu.
Polis Turki berkata pada hujung minggu lepas, kirakira 15 warga Saudi termasuk pegawai, tiba di Istanbul dalam dua penerbangan Selasa lalu dan berada di konsulat pada waktu yang sama dengan Khashoggi.
Sumber kerajaan Turki memberitahu pada hujung minggu lepas bahawa polis percaya wartawan itu telah dibunuh satu pasukan yang dihantar khas ke Istanbul dan meninggalkan negara pada hari yang sama.
Riyadh menafikan sekeraskerasnya dakwaan itu dan berkata Khashoggi meninggalkan konsulat.
Turki kelmarin meminta keizinan untuk memeriksa premis konsulat, badan penyiaran Turki NTV melaporkan.
Tindakan itu diambil selepas kementerian luar memanggil duta Saudi buat kali kedua Ahad lepas berhubung kehilangan wartawan terbabit.
Seorang diplomat Turki kelmarin mengesahka utusan Saudi itu telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Luar Sedat Onal.
“Duta diberitahu bahawa kami menjangkakan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini,” kata sumber tersebut.
Duta berkenaan pertama kali dipanggil ke kementerian pada Rabu lepas.
Erdogan berkata badan perisikan dan polis Turki sedang menyiasat kes itu.
“Pintu keluar masuk lapangan terbang sedang diperiksa, ad orang datang dari Arab Saudi.
“Pejabat ketua pendakwa raya sedang menyiasat isu itu,” katanya.
Presiden AS Donald Trump berkata, beliau bimbang mengenai kehilangan wartawan itu.
“Buat masa sekarang, tidak ada orang yang tahu apa-apa mengenainya. “Beberapa cerita yang agak kejam telah disebar. Saya tidak menyukainya,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Penunjuk perasaan berhimpun di luar konsulat Saudi di Istanbul kelmarin dengan sepanduk yang menyebut ‘Kami tidak akan pergi tanpa Jamal Khashoggi’, dan menuntut untuk mengetahui perkara yang telah berlaku kepadanya.
Aktivis Yaman Tawakkol Karman, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2011, berkata ia adalah jenayah yang buruk jika dakwaan tentang kematiannya berasas.
“Membunuhnya umpama membunuh kita. Dasar ini hanya dasar keganasan.
“Tidak ada bezanya di antara keganasan kerajaan dengan tindakan ganas lain,” ujarnya.
Khashoggi pergi ke konsulat berkenaan bagi mendapatkan dokumen rasmi yang diperlukannya untuk mengahwini Hatice Cengiz.
Polis Turki dengan cepat menyatakan dia tidak pernah meninggalkan bangunan berkenaan kerana rakaman keselamatan tidak menunjukkan dia meninggalkan bangunan.
Konsulat menolak dakwaan bahawa wartawan itu dibunuh di sana sebagai tidak berasas.
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman sebelum ini memberitahu Bloomberg bahawa Riyadh bersedia untuk menyambut kerajaan Turki bagi memeriksa konsulat, iaitu wilayah berdaulat Saudi.