Soo persoal dakwaan proses pinda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan memakan masa
KUCHING: Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo mempersoalkan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Undang- Undang) Datuk Liew Vui Keong bahawa proses meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan akan memakan masa.
Beliau katanya sudah meneliti Hansard pada 1976 di mana A354 Seksyen 2 yang merupakan himpunan 100 pindaan yang diluluskan sebagai satu blok dan Artikel 1(2) diterima oleh semua Ahli Parlimen tanpa perbahasan atau bantahan.
“Jika proses ketika itu dapat diluluskan di satu sesi Parlimen, kenapakah ia kini memerlukan masa untuk membatalkannya?” soal beliau dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Bagaimanapun, Soo berkata beliau akan melihat apa yang akan berlaku dan akan menunggu untuk melihat janji Liew direalisasikan tidak lama lagi apabila rang undang-undang yang beliau cadangkan diumumkan nanti.
“Proses yang perlu dijalankan hanyalah untuk mengembalikan Artikel 1(2) kepada asalnya pada 1963, dan menambah klausa tambahan kepada Akta Pembangunan Petroleum dan Akta Laut Wilayah. Akta ini tidak akan diguna pakai oleh Sabah dan Sarawak,” katanya.
Soo menegaskan proses itu sahaja diperlukan dalam Parlimen dan perlembagaan sekarang, dan segalanya akan menjadi seperti yang sepatutnya.
Sementara itu Isnin lepas, Liew pada sidang media di sini berkata, kerajaan persekutuan serius untuk meminda Perkara 1( 2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak dalam Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, bagaimanapun untuk meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen ia memerlukan sokongan daripada pihak pembangkang.
Menurut beliau, pindaan artikel itu untuk diluluskan di Parlimen mesti mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, yang bermakna pihak pembangkang juga mesti mengundi untuk menyokong.