Kadar sara diri bekalan daging, susu segar akan dipertingkat: Salahuddin
BUTTERWORTH: Kerajaan komited untuk menggalakkan peningkatan kadar sara diri (SSL) bagi pengeluaran bekalan daging tempatan kepada 30 peratus serta susu segar sehingga 100 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, pada masa ini SSL bagi bekalan daging tempatan ialah 23 peratus manakala SSL untuk bekalan susu segar hanya 58 peratus.
“Dalam rangka melancarkan hala tuju baharu kementerian ini, saya dan pasukan kami, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah menetapkan sasaran kami untuk meningkatkan SSL bekalan daging tempatan dan susu segar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar 2018, di sini semalam.
Beliau berkata, bagi mencapai unjuran tujuh peratus lagi SSL bekalan daging tempatan, pihaknya sedang meneliti beberapa kertas cadangan daripada syarikat-syarikat besar termasuk pelabur asing.
“Terdapat dua cara atau sek- tor untuk meningkatkan SSL ini iaitu pertamanya memastikan ia berskala besar dan keduanya meminta JPV memikirkan konsep dan model baharu yang dapat membantu meningkatkan SSL bekalan daging tempatan kita,” katanya.
Ditanya mengenai harapan kementerian bagi pembentangan Bajet 2019, Salahuddin berharap kerajaan akan memberi perhatian terhadap fungsi kementerian itu untuk melaksanakan tangggunjawab dalam jaminan makanan.
“Ini kerana jika berlakunya pengurangan, saya bimbang kita tidak dapat mencapai unjuran yang ditetapkan sebab untuk pastikan indeks ‘food security’ ini terjamin, maka ini satu pelaburan kerajaan.
“Jaminan makanan ini perlu dianggap satu pelaburan yang kita tidak mengharapkan pulangan tetapi kita menjaga indeks ini untuk memastikan kita cukup makanan di waktu aman dan waktu bencana,” katanya.
Konvensyen Pengembangan dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah SeMalaysia yang merupakan acara ta- hunan itu dihadiri oleh 400 pegawai- pegawai pegawai pengembangan veterinar.
Program itu merupakan suatu inovasi perkhidmatan berbentuk proaktif dan preventif yang diperkenalkan untuk menggalakkan pengkomersialan bidang penternakan yang kemudiannya digarap sebagai “pertanian adalah sumber rezeki”. — Bernama