Manfaatkan sepenuhnya teknologi moden untuk mempercepat proses transformasi sektor pertanian: Uggah
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak bertekad menjadi pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030.
Beliau berkata bagi tujuan itu, Sarawak akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi moden untuk mempercepatkan lagi proses transformasi sektor pertanian di negeri ini.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata bagi tujuan itu, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan akan menganjurkan dua acara penting iaitu Agrofest Sarawak 2018 dan Persidangan Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak (ICCAS) 2018.
“Pertanian merupakan antara sektor penting dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak, menyumbang 13.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM15 bilion pada 2017.
“Sektor ini memainkan peranan penting dalam mem- basmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar Sarawak,” katanya.
Uggah berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Ronald Sagah Wee Inn pada sidang media penganjuran Agrofest Sarawak 2018 di sebuah hotel di sini semalam.
Uggah berkata, seiring dengan inisiatif transformasi ekonomi Sarawak, Kerajaan Sarawak terus mengenal pasti dasar-dasar berkesan, strategi-strategi dan pendekatanpendekatan pembangunan serta model-model perniagaan inovatif yang dapat menggalak pertumbuhan sektor pertanian secara signifikan.
“Sempena Agrofest Sarawak 2018, edisi kedua ICAAS akan diadakan pada 23 dan 24 Oktober di lokasi sama Agrofest iaitu Pusat Konvensyen Penview (PCC).
“Persidangan antarabangsa ini merupakan landasan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai pendekatan dan mekanisme baharu yang terbukti berjaya di Malaysia serta negara lain, berpotensi diguna pakai di Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Agrofest Sarawak 2018, Uggah berkata festival pertama seumpamanya di Sarawak itu akan bermula pada 20 hingga 28 Oktober dan kali ini menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan.
Festival itu yang dahulunya dikenali Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) menggabungkan pameran dan jualan, persidangan dan seminar, pemadanan per- niagaan, jualan makanan, zoo mini, permainan, peraduan dan hiburan.
“Objektif- objektif khusus Agrofest Sarawak ialah mempromosikan keluaran pertanian dan produk asas tani Sarawak serta pertanian pintar, moden dan komersil.
“Ia juga mempromosikan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan dalam pertanian serta penglibatan belia dalam sektor ini,” katanya.
Beliau menambah, Agrofest Sarawak akan menjadi acara tahunan dalam kalendar acara negeri, menggabungkan program pendidikan serta hiburan dan pertandingan yang menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung bertuah.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan Agrofest Sarawak 2018 pada 25 Oktober ini jam 10 pagi.
Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah ( MANRED) Datu Ik Pahon Joyik, Ketua Bahagian Mengkomersilkan Pertanian MANRED Dr Gluma Saban, Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dr Alvin Chai Lian Kuet, Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Sajem Jinim dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sarawak Lelia Sim Ah Hua.