PKR Sarawak mahu kes pembunuhan Bill Kayong dibuka semula
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mahu kes pembunuhan aktivis tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Sarawak Bill Kayong dibuka semula.
Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo berkata perbicaraan semula kes pembunuhan Kayong penting untuk memastikan dalang kes berkenaan dibawa ke mahkamah dan dibicarakan.
Beliau berkata dua tahun lalu, setiausahanya Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbi Abdullah ditembak mati dalam satu kejadian oleh tiga suspek dalam sebuah kereta tetapi hanya seorang daripada mereka dijatuhi hukuman mati.
“Dalang kes masih bebas. Kita tidak berpuas hati, begitu juga penduduk kampung yang diwakili Allahyarham, kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Oleh itu kita mahu siasatan penuh dilakukan dan kes ini dibicarakan semula. Kita mahu dalang pembunuhan Kayong diheret ke mahkamah dan didakwa,” katanya semasa demonstrasi aman di pekarangan pintu masuk Parlimen semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Wille Mongin berkata keputusan Mahkamah Tinggi Miri pada Ogos lalu yang menyaksikan hanya Mohamad Fitri Fauzi, 30, dijatuhi hukuman mati amat diragui.
“Saya hari ini bersama Ahli Parlimen PKR dari Sarawak menyertai demonstrasi ini untuk memberi sokongan kepada kes Kayong yang saya rasa perbicaraannya amat diragui dan kita minta kes ini dibuka semula.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, di mana semua yang terlibat dalam kes ini hanya seorang (Mohamad Fitri Pauzi) dijatuhi hukuman,” katanya.
Willy berkata perbicaraan semula kes itu perlu supaya kes pembunuhan Kayong dibicara dengan seadilnya.
“Tidak ada orang yang memperjuangkan tanah NCR Sarawak lebih telus dan sanggup berkorban nyawa seperti Bill. Kita percaya keadilan hendaklah ditegakkan untuk Allahyarham dan keluarganya,” katanya.
Ahli Parlimen Saratok Ali Biju pula berkata beliau akan membawa isu berkenaan ke Parlimen dan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat semula kes Bill secara menyeluruh.
“Kita akan membawa isu ini ke Parlimen dan menyeru pihak bertanggungjawab, KDN melihat semula kes ini secara menyeluruh.
“Yang ditangkap dan dijatuhi hukuman ketika ini hanya seorang. Motif pembunuhan juga kita tidak tahu. Jadi kita merasakan ketidakadilan sangat menebal dalam kes ini,” ujar Ali.
Pada 10 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Miri menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohamad Fitri Fauzi, 31 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh Kayong.
Hakim Ravintharan N. Paramaguru membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwara raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dalam kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan kes, Mohamad Fitri dari Pujut, Miri melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian Kayong pada jam 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya di Tudan pada 21 Jun 2016.
Kayong maut di tempat kejadian ketika memandu pikap kerana terkena tembakan di leher menggunakan senapang patah.
Seramai empat suspek, termasuk Mohamad Fitri, dan seorang daripadanya bergelar Datuk ditahan sejak 2016 bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Tiga daripada tertuduh dibebaskan pada 6 Jun 2017 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh bersubahat dengan Mohamad Fitri.