Undang-undang kawal penularan rabies dikuat kuasa 1 Disember
KUCHING: Sarawak akan menguatkuasakan UndangUndang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan ( Pelesenan dan Kawalan Anjing), 2018 bermula pada 1 Disember akan datang.
Penguatkuasaan undangundang kecil baharu ini adalah susulan penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini sejak kes pertama pada 2017.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata undangundang kecil baharu meliputi semua 26 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara ( DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Pada masa ini semua 26 majlis di Sarawak mempunyai Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing mereka sendiri yang telah dibuat antara tahun 1961 dan 1962.
“MBKS dan DBKU telah menyemak semula UndangUndang Kecil Pelesenan Anjing mereka masing-masing pada 1991 dan 1990.
“Bagi tujuan keseragaman dan konsistensi pelesenan dan pengawalan populasi anjing, terdapat keperluan untuk menyatukan semua 26 undangundang kecil pelesenan anjing ini di bawah satu undang-undang yang terpakai di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai undang-undang kecil baharu ini di Tingkat 2, Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.
Tambah Penguang, di bawah undang- undang kecil baharu ini, pemilik anjing perlu menunjukkan bukti bahawa anjing mereka telah divaksin dengan vaksin anti-rabies atau pemvaksinan lain sebelum lesen dapat dikeluarkan atau diperbaharui.
Undang-undang ini juga memperuntukkan lesen yang dikeluarkan sah untuk tempoh tiga tahun dengan yuran RM30 bagi seekor anjing yang telah dikasi dan RM90 untuk seekor anjing yang tidak dikasi.
Mereka yang memiliki anjing melebihi tiga ekor akan dikenakan yuran lesen RM90 bagi setiap seekor anjing tambahan yang telah dikasi sah untuk tempoh tiga tahun dan RM270 bagi setiap seekor anjing tambahan yang tidak dikasi.
Undang-undang ini turut memerlukan PBT mengeluarkan tag logam sebagai bentuk pengenalpastian (ID) anjing dan sebagai tambahan kepada tag logam ini, pemilik perlu implan anjing mereka dengan alat ID elektronik.
“Bagaimanapun kita akan mengecualikan undang-undang ini ke atas anjing-anjing milik Angkatan Tentera, polis, kastam, Jabatan Veterinar atau mana-mana agensi kerajaan lain yang boleh dikecualikan.
“Pengecualianturutdiberikan kepada semua anjing di kawasan rumah panjang tetapi mereka di rumah panjang dan kampung-kampung perlu membuat pemvaksinan ke atas anjing masing-masing,” katanya.
Antara peruntukan lain di bawah undang-undang ini ialah pemilik lesen anjing perlu melaporkan sebarang perubahan pemilikan kepada PBT dalam tempoh 30 hari dari tarikh pertukaran pemilikan dengan kadar yuran RM10.
Undang-undang ini juga memerlukan pemilik kedai haiwan peliharaan yang menjual anjing dan pembiak anjing untuk mendapatkan lesen bagi premis perniagaan mereka.