Cadangan menukar nama SK Nanga Tada tidak direstui
SIBU: Cadangan menukar nama Sekolah Kebangsaan ( SK) Nanga Tada kepada Mathew Medan tidak direstui serta tidak dipersetujui masyarakat tempatan di situ.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Tada Kaunselor Bunut Kubu berkata selain penduduk setempat, pemilik tanah tempat sekolah itu didirikan di Skim Penempatan Semula Nanga Tada, Kanowit juga tidak setuju.
“Pada mulanya ia hanyalah cadangan sahaja tetapi selepas disiarkan berita mengenai cadangan itu ia mendapat tentangan penduduk setempat dan pemilik tanahnya.
“Kita terpaksa akur dengan suara dan pendapat mereka. Kita kena hormati keputusan mereka dan mereka ada sebab tertentu kenapa tidak boleh ditukar kepada nama SK Mathew Medan,” katanya di sini semalam.
Menerusi surat bertarikh 3 Mei lalu, Setiausaha tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu Sudarsono Osman memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak supaya salah satu daripada dua sekolah menengah (SMK Kanowit atau SMK Nanga Dap) ditukar kepada nama SMK Mathew Medan.
“Kementerian ini diarahkan memanjangkan permohonan Elizabeth Moggie yang dipersetujui Ketua Menteri menukar semula nama SMK Kanowit atau SMK Nanga Dap kepada SMK Mathew Medan.
“Ia sempena nama Commando Trooper Mathew Medan yang diseksa dan dibunuh oleh Kumpulan Militan Al-Ma’unah pada 4 Julai 2000 di Bukit Jenalik, Sauh, Perak.
“Sehubungan itu, kementerian meminta agar permohonan itu dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pertimbangan dan kelulusan,” kata Sudarsono dipetik menerusi surat menjadi tular kalangan penduduk Kanowit.
Selepas berita itu disiarkan, Bunut dalam kenyataannya yang diterbitkan akhbar ini pada 20 Oktober lalu berkata pertukaran nama sekolah menggunakan nama mendiang harus dibuat lebih teliti dan terperinci serta mengambil kira asal usul mendiang.
Justeru, beliau mencadangkan agar SK Nanga Tada atau SMK Sedaya adalah tepat ditukar menggunakan nama mendiang kerana mendiang pernah bersekolah di situ.
Ini kerana dua sekolah menengah yang dicadangkan kementerian (SMK Kanowit dan SMK Nanga Dap) tidak mempunyai kaitan dengan mendiang kerana tidak bersekolah di situ.
“Kalau boleh, kementerian jangan menukar nama SMK Kanowit atau SMK Nanga Dap mahupun SK Nanga Tada kerana dibimbangi mendapat tentangan atau menyentuh sensitiviti penduduk setempat.
“Kita juga bimbang ia ditentang kerana penduduk setempat lebih tahu atau mempunyai sebab tertentu kenapa tidak boleh ditukar,” jelasnya.
Sehubungan itu, Bunut mencadangkan kerajaan membina sebuah lagi sekolah baharu di Kanowit tidak kira sekolah rendah atau menengah untuk membolehkan menggunakan nama mendiang.
“Saya mencadangkan supaya sebuah sekolah vokasional dibina di Kanowit dengan menggunakan nama mendiang.
“Adalah lebih baik sekolah baharu menggunakan nama baharu berbanding menukar nama sekolah lama yang sudah lama dikenali,” katanya.