AADK bakal kemuka cadangan akta khusus tangani penyalahgunaan inhalan
KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mewujudkan akta khusus bagi menangani penyalahgunaan bahan sedutan atau inhalan.
Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, draf akta tersebut kini disemak penasihat undangundang agensi AADK dan berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya.
“Pada masa ini, tiada akta khas dikenakan terhadap individu yang didapati menyalahgunakan bahan sedutan seperti gam dan petrol.
“Mereka (pesalah) akan dikenakan tindakan di atas kesalahan lain seperti terlibat dengan kes-kes lain seperti mencuri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Sehingga Julai tahun ini, seramai lapan penagih bahan sedutan pam, petrol dan ketum dilaporkan berbanding sembilan penagih dalam tempoh sama tahun lepas.
Zulkifli berkata masalah penyalahgunaan inhalan ini membimbangkan namun bilangan individu yang terbabit tidak meningkat kerana terdapat pilihan dadah jenis lain.
Tegasnya, aktiviti menghidu gam dan petrol ini akan membawa kerosakan pada otak sehingga boleh membawa kesan buruk kepada diri dan keluarga.
Ketika ini, individu yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Penagih Dadah 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama