PKR cabang Jelebu buat laporan polis berhubung pemilihan
JELEBU: PKR Cabang Jelebu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di sini, semalam bagi mendesak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengira semula 315 undi yang tidak dikira pada pemililihan Sabtu lepas.
Ketua Cabangnya Muhamed Zabidi Abdullah berkata laporan itu dibuat susulan JPP tidak mengambil kira 315 undi atas faktor masalah Internet yang dialami pada hari tersebut menyebabkan undi tersebut tidak dikira pada pemilihan itu.
“Kami menggesa pihak JPP untuk mengira semula undi tersebut. Kami akur dengan keputusan sedia ada tetapi demi keadilan semua, kami mohon keputusan penuh dengan jumlah undi itu dikira.
“Seandainya keputusan undi semula hendak dibuat oleh pihak JPP, kami mohon JPP memberitahu kami status undi 315 tersebut sebelum mengadakan semula pemili- han Cabang Jelebu dibuat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.
Pemilihan PKR Negeri Sembilan berlangsung Sabtu lalu selepas ditangguh bagi memberi laluan kepada sesi penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, 29 September lepas.
Kesemua lapan cabang berkenaan ialah Jelebu dengan keanggotaan seramai 3,439, Jempol (3,353), Seremban (4,959), Kuala Pilah (2,876), Rasah (3,807), Rembau (6,421), Telok Kemang (8,333) dan Tampin (3,782).
Dalam keputusan yang dikeluarkan semalam, Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli mendominasi persaingan jawatan timbalan presiden parti apabila mendahului pencabarnya Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan PKR yang berlangsung di lapan cabang di Negeri Sembilan. — Bernama