Ibu bapa jangan ambil mudah isu lewat daftar kelahiran, kata Fatimah
SIBU: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menasihati ibu bapa supaya tidak mengambil mudah isu lewat mendaftar kelahiran.
Katanya, sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian serius ia mampu memberi kesan besar terhadap masa depan anak-anak mereka.
Beliau menegaskan, pendaftaran kelahiran amat penting untuk anak-anak mendapat pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.
“Baru- baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan bantuan kewangan untuk bayi yang baharu lahir di negeri ini.
“Inisiatif baharu itu dan jumlah bantuan tersebut akan diumumkan pada 5 November nanti sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya semasa ditemui media semalam.
Terdahulu beliau telah mengadakan lawatan ringkas ke Tadika Ting Cha Hua di Lorong Diong Kik 17 di sini.
Fatimah berkata, beliau akan bermesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan agar isu-isu ketiadaan sijil lahir dan doku- men pengenalan dalam kalangan ibu bapa di negeri ini khasnya diselesaikan segera.
Ujar beliau, perkara ini harus ditangani segera, supaya kanak-kanak yang dilahirkan kelak mendapat bantuan kewangan seperti yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak serta kemudahan lain termasuk pendidikan.
Bercakap lanjut Fatimah menjelaskan bahawa pendidikan awal yang baik dapat membantu memaksimumkan potensi penguasaan anakanak terhadap pelajaran.
Katanya, apabila mereka melangkah ke prasekolah dan sekolah rendah, mereka semakin faham dan jelas akan tujuan menimba ilmu.
“Anak- anak kecil kita merupakan sumber manusia yang cukup penting kepada pembangunan dan masa depan bangsa dan negara.
“Penerapan ilmu yang baik akan membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu,” jelasnya.
Fatimah berkata, selain bersosial dengan rakan se- baya, mahupun orang yang lebih besar daripada mereka (guru), mereka akan belajar untuk bergaul dengan rakan, belajar berkongsi dan bertolak ansur.
“Selain aspek sosial, kanakkanak juga jelasnya akan belajar cara menghormati orang dan penyelesaian masalah,” tambah beliau.
Katanya, prasekolah menyediakan tempat untuk anak mengenal diri, mengembangkan karakter positif dalam diri dan meningkatkan keyakinan diri.