Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada lagi tanda-tanda menunjukka­n terdapat mangsa di kawasan tiga sektor pencarian, mangsa ke-10 masih hilang

-

GEORGE TOWN: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditamatkan dengan sembilan pekerja asing disahkan maut manakala lima yang lain cedera dalam kejadian itu.

Operasi SAR yang dijalankan sejak kejadian pada jam 1.56 petang hari Jumaat lepas itu berjaya menemui sembilan mayat terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar.

Operasi yang melibatkan lebih 200 anggota penyelamat serta unit anjing pengesan ( K9) bomba di kawasan seluas 9290.3 meter persegi ( 100,000 kaki persegi) itu ditamatkan petang semalam selepas tiada lagi tandatanda menunjukka­n terdapat mangsa di kawasan tiga sektor pencarian.

”Jam 6 petang ini (semalam) operasi SAR ditamatkan setelah pasukan penyelamat dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) bomba tidak menemui sebarang tanda terdapat mayat mangsa di kawasan itu setelah semua timbunan tanah di tiga lokasi tanah runtuh itu dialihkan,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Mokhtar.

Dua mayat ditemui pada Jumaat, dua lagi mayat ditemui pada Sabtu manakala tiga mayat ditemui pada Ahad dan dua lagi mayat ditemui kelmarin.

Mereka yang maut dikenali sebagai Samsul Asman, 19, (Indonesia); Bahtiar, 36, (Indonesia); Subaeri, 34, (Indonesia); Attarul, 35 (Bangladesh); Mustak Hossain, 25, (Bangladesh); Mithu Hossain, 30, (Bangladesh); Mohamad Jalil, 31 (Bangladesh); Mohamad Uzzal, 33, (Bangladesh) dan Khin Aye Khaing, 33, (wanita Myanmar).

Mereka yang cedera pula ialah Shamim, 24, ( lelaki Bangladesh) yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan tiga wanita iaitu dua Indonesia Wa Iri, 36, yang merupakan isteri kepada Bahtiar yang mengandung empat bulan; dan Laduma serta seorang wanita Kemboja yang dikenali sebagai Norazizah, 24, yang juga isteri kepada Subaeri.

Sejak kejadian tanah runtuh itu, 10 orang dilapor hilang dikhuatiri tertimbus dan operasi mencari dan menyelamat yang berjalan selama lima hari berjaya menemui sembilan mayat mangsa di bawah runtuhan tanah itu manakala seorang lagi lelaki Bangladesh yang dikenali sebagai Mohamad Rahaz, 25, gagal ditemui.

Beliau berkata laporan kehilangan Mohamad Rahaz diterima daripada rakannya dan pasukan penyelamat telah melakukan pencarian di segenap kawasan yang runtuh itu termasuk dalam 13 kontena yang ditemui, tetapi tiada sebarang petunjuk yang diperolehi.

“Selepas Operasi SAR yang masuk hari kelima hari ini (semalam), pasukan penyelamat masih gagal mengesan mayat mangsa ke-10 itu,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja pengalihan tanah oleh jentolak selesai jam 5 petang dan unit anjing pengesan mengambil masa kira-kira satu jam untuk membuat pengesanan dan pembersiha­n akhir tetapi tetap gagal mengesan sebarang petunjuk.

Tanah runtuh di tapak projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabka­n 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja asing projek itu tertimbus. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SELESAI: Anggota Bomba dan Penyelamat memeluk di antara satu sama lain setelah operasi mencari mangsa tertimbus berjaya ditamatkan setelah mendapati tiada lagi mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di projek pembinaan Lebuhraya Berkembar di Bukit Kukus Paya Terubong semalam.
— Gambar Bernama SELESAI: Anggota Bomba dan Penyelamat memeluk di antara satu sama lain setelah operasi mencari mangsa tertimbus berjaya ditamatkan setelah mendapati tiada lagi mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di projek pembinaan Lebuhraya Berkembar di Bukit Kukus Paya Terubong semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? TERUSKAN MISI PENCARIAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini masuk hari kelima semalam.
— Gambar Bernama TERUSKAN MISI PENCARIAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini masuk hari kelima semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia