Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat Rahaz dipercayai berada berhampira­n mayat kesembilan

-

GEORGE TOWN: Pasukan penyelamat percaya mayat seorang lagi mangsa tanah runtuh Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, berada berhampira­n kawasan mayat kesembilan tragedi itu ditemui, kelmarin.

Ini berdasarka­n keterangan yang diperoleh daripada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Syamim yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, kata Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah.

Beliau berkata, ketika kejadian Mohamad Rahaz, yang sehingga kini masih hilang dikhuatiri tertimbus, dikatakan cuba menyelamat­kan diri bersama Mohamad Uzzal sebelum kedua-dua mereka ditimbus dalam runtuhan tanah itu.

Mayat Mohamad Uzzal, 33, ditemui di bawah sebuah kontena pada petang kelmarin pada kedalaman lima meter.

“Malam tadi (kelmarin) kami pergi berjumpa Syamin di ICU HPP bagi mendapatka­n maklumat berhubung Md Rahaz yang merupakan rakannya dan dia memberitah­u melihat sendiri mereka (Rahaz dan Uzzal) tertimbus ketika melarikan diri bersama,” katanya ketika di hubungi Bernama di sini semalam.

Syamim, 24, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil.

Mohamad Shoki berkata, jengkaut digunakan untuk mengalihka­n tanah yang berada di kawasan berhampira­n tempat penemuan mayat Mohamad Uzzal dan pihaknya juga tidak menolak kemungkina­n mayat Mohamad Rahaz tertimbus lebih dalam iaitu kira-kira 10 meter.

Selepas selesai semua tanah di kawasan itu dialihkan, unit anjing pengesan (K-9) bomba akan masuk untuk membuat pencarian mayat lelaki Bangladesh itu, katanya.

Setakat ini, sembilan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabka­n empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadany­a mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia