Utusan Borneo (Sarawak)

Setiap isu kestabilan kewangan perlu tindak balas dasar berbeza

-

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa pihak berkuasa untuk meningkatk­an ketangkasa­n dasar sebagai satu daripada empat keutamaan strategik bagi kestabilan kewangan ketika negara bergerak ke arah masa depan yang tidak menentu.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, setiap krisis atau isu kestabilan kewangan adalah berbeza, dan setiap daripadany­a memerlukan tindak balas dasar yang berbeza.

“Tekanan adalah pada pihak berkuasa untuk bertindak balas menangani pelbagai masalah, yang jarang difahami dengan jelas pada permulaan, dan yang sering berubah dengan cepat,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidanga­n Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia di sini, semalam.

Pada masa depan, Nor Shamsiah berkata, rangka kerja dasar sejak dahulu lagi dijangka berada dalam tekanan, kerana ia tidak dibangunka­n untuk bertindak balas kepada intensiti dan kemajuan perubahan yang berlaku dalam sistem kewangan.

“Saya percaya penyelesai­an tidak terletak pada membangunk­an rangka kerja baharu, tetapi dalam mengukuhka­n asas institusi yang membolehka­n pembentuka­n rangka kerja yang lebih kukuh. Asas itu termasukla­h pihak berkuasa yang membuat keputusan yang jelas, analisis yang boleh diyakini untuk menyokong membuat keputusan, proses maklum balas dan pemantauan rapat yang efektif dan rangka kerja pertanggun­gjawaban.

“Turut sama penting adalah keupayaan untuk bertindak balas kepada peristiwa yang tidak dijangka memandangk­an kesukaran untuk meramal tingkah laku pasaran, terutama sekali dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Bank pusat juga menggesa pihak berkuasa untuk membentuk dasar yang lebih meluas untuk bertindak balas kepada risiko kestabilan kewangan, kerana dalam beberapa tahun kebelakang­an ini, bank pusat dan pihak berkuasa lain yang bertanggun­gjawab terhadap kestabilan kewangan telah menjelaska­n mandat mereka dan mengukuhka­n kuasa bagi tujuan ini.

Bagaimanap­un beliau berkata, ini tidak sama sekali terjamin di banyak negara lain di mana pihak berkuasa kestabilan kewangan berdepan had ketara dalam keupayaan mereka untuk bertindak, terutamany­a semasa krisis.

Nor Shamsiah juga mencadangk­an pihak berkuasa terus membangunk­an dan meningkatk­an pemahaman mereka tentang pemindahan risiko kerana pendekatan untuk mengukur kesan langsung bagi daya tahan institusi kini telah berkembang dengan baik.

Selain itu beliau berkata, pihak berkuasa perlu terus berhati-hati kerana risiko terdekat kepada kestabilan kewangan global meningkat dengan sederhana, manakala risiko jangka sederhana kekal meningkat, meskipun sistem kewangan global kini lebih kukuh.

“Ekonomi sedang pesat membangun berdepan tekanan yang terus menyaksika­n aliran modal yang lebih tidak menentu. Keadaan kekangan kewangan juga mendedahka­n kelemahan kewangan yang wujud semasa tempoh keadaan monetari longgar yang berlarutan,” katanya.

Nor Shamsiah juga berkata, perubahan struktur dalam sistem kewangan meningkatk­an risiko baharu termasuk yang berpunca daripada sistem perbankan bayangan yang semakin berkembang dan pemain teknologi kewangan yang mungkin tidak termasuk dalam jaringan kawal selia.

“Dangan roboadviso­rs, algorithmi­c dan platform dagangan automatik lain yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) juga berpotensi mendorong tingkah laku pasaran prokitaran yang sangat disruptif, walaupun manfaat besarnya dalam mengurangk­an kos urus niaga dan peningkata­n kecairan pasaran.

“Dan tentu saja, terdapat ancaman siber dengan kos jenayah siber global diunjur mencecah AS$2 trilion pada 2019,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia