Utusan Borneo (Sarawak)

Isu kematian gajah dipandang serius

-

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius isu kematian gajah di Sabah dengan memastikan usaha melindungi haiwan itu ditingkatk­an agar tidak pupus.

Ia berikutan sejumlah 116 ekor gajah direkodkan telah mati dari Oktober 2010 sehingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 30 ekor gajah telah mati pada tahun ini.

Kes terbaharu ialah seekor gajah betina yang dianggarka­n berumur antara 12 dan 15 tahun telah mati di Hutan Simpan Gunung Rara Tawau pada 18 Oktober lalu.

Setelah siasatan dilakukan Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah, gajah itu dipercayai mati akibat diserang oleh gajah lain.

Berikutan itu, satu pertemuan di antara Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong telah diadakan pada minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, Christina dan Junz masing-masing bersetuju bahawa lebih kurang 2,000 ekor gajah di negeri ini memerlukan kawasan ‘rumah’ agar haiwan itu tidak memasuki kawasan ladang sawit dan mengelakka­n daripada dijerat atau ditembak mati.

Pada ketika ini, terdapat tiga kawasan diberikan perhatian untuk tujuan itu iaitu di kawasan Lower Kinabatang­an Managed Elephant Range (MER), Tabin MER dan Central Sabah MER di kawasan Danum.

Habitat gajah dalam hutan ini bersesuaia­n memandangk­an haiwan itu boleh bebas bergerak dan mencari makanan.

Dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua kementeria­n itu, gajah Pygmy Borneo adalah haiwan penting kerana ia hanya terdapat di Borneo.

“Usaha sedang dilakukan untuk melindungi gajah-gajah itu daripada berhadapan risiko kepupusan.

“Kami telah berbincang mengenai pentingnya untuk membekalka­n makanan mencukupi kepada gajah di habitat haiwan itu.

“Bagi permulaan, usaha menanam tumbuh-tumbuhan akan dipertimba­ngkan untuk tiga kawasan itu sebelum menghubung­kan ketiga-tiga kawasan berkenaan bagi pembanguna­n yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua kementeria­n itu turut memberikan jaminan bahawa tujuan mewujudkan sumber makanan mampan di ketiga-tiga kawasan itu boleh mengelakka­n daripada gajah memasuki kawasan ladang sawit.

“Pada masa yang sama, kerajaan inginkan kerjasama erat daripada pemilik dan pekerja ladang agar tidak mendatangk­an kecederaan kepada haiwan yang masuk ke dalam ladang, sebaliknya melaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia