Utusan Borneo (Sarawak)

BN12 PGA Miri serbu kedai kopi, rampas barang seludup

-

MIRI: Sepasukan anggota Batalion 12 (BN12) Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri berjaya merampas pelbagai jenis rokok, arak dan bir seludup dianggarka­n bernilai RM50,000 hasil serbuan di sebuah kedai kopi di Pusat Komersil Centre Point di sini kelmarin.

Pegawai Pemerintah BN12 Superinten­den Tan Hiap Seng berkata, berikutan rampasan itu pihaknya telah memberkas pemilik premis terbabit yang berusia 48 tahun.

“Suspek turut ditangkap kerana cuba menyogok anggota serbuan dengan menawarkan RM2,000 sebagai rasuah agar tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapny­a.

“Suspek telah ditangkap mengikut Seksyen 135 ( 1) (d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan menjual barang seludup atau tidak membayar cukai kastam dan Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana cuba merasuah anggota PGA,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarka­n semalam.

Terdahulu menurut Tan, bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota Cawangan Risik BN12 yang diketuai Inspektor Rizuan Makladin membuat serbuan ke sebuah kedai kopi di Jalan Melayu, Pusat Komersial Centre Point di sini.

Dalam serbuan jam 12.15 tengah hari itu, anggota PGA menjumpai 156 kotak rokok pelbagai jenama, 77 botol minum keras dan 173 tin bir dipercayai barang seludup yang disimpan di dalam premis tersebut serta sebuah kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta di hadapan premis itu.

“Semasa pemeriksaa­n dilakukan, pemilik premis telah menawarkan wang sogokan RM2,000 kepada anggota serbuan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapny­a.

“Selain barang-barang disyaki barang seludup, kami turut merampas sebuah kereta dan wang sogokan RM2,000 untuk dijadikan barang kes,” katanya.

Kes akan diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia dan SPRM untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Tan menegaskan bahawa operasi terhadap kegiatan pemilikan dan penjualan barangan lari cukai atau seludup di dalam kawasan tanggungja­wab BN12 PGA Miri akan terus dijalankan.

Justeru beliau menggesa orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan sedemikian supaya tampil menyalurka­n maklumat kepada mereka agar tindakan segera dapat dilakukan untuk mengekang kegiatan penyeludup­an ini daripada terus berleluasa.

 ??  ?? BAHAN BUKTI: Sebahagian daripada rokok, arak dan bir seludup yang dirampas dari premis suspek. Turut dirampas wang sogokan RM2,000 yang ditawarkan suspek.
BAHAN BUKTI: Sebahagian daripada rokok, arak dan bir seludup yang dirampas dari premis suspek. Turut dirampas wang sogokan RM2,000 yang ditawarkan suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia