Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki muat naik komen jelik anggota polis maut kemalangan ditahan

-

KUANTAN: Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan kerana memuat naik komen jelik di laman sosial Facebook berhubung kejadian dua anggota polis maut kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek yang bekerja sebagai buruh di jeti ikan ditahan di sebuah rumah di Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini pada jam 10.30 malam kelmarin.

Katanya, suspek didakwa meninggalk­an komen yang boleh menjatuhka­n imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menimbulka­n kemara- han anggota pasukan itu di akaun Facebook Komuniti Kuantan.

“Perbuatan tertuduh disedari oleh seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang yang membaca komen itu dalam kumpulan WhatsApp Persatuan Pegawai Rendah Polis Pahang.

“Sehubungan itu, pengadu yang bertugas di cawangan Kem Komandan IPK Pahang telah membuat laporan polis sekitar jam 6.20 petang kerana mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap suspek,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Wazir menambah polis juga merampas sebuah telefon bimbit Samsung Gal- axy J2 Prime dan dua keping kad SIM yang dipercayai digunakan suspek semasa memuat naik komen tersebut.

Katanya, suspek ditahan di lokap berpusat Indera Mahkota di sini, dan polis telah memperoleh perintah reman selama empat hari bermula semalam, untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen itu memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Saya berharap orang awam tidak sewenang-wenangnya menaikkan komen atau posting yang menghina pegawai penguatkua­sa yang menjalanka­n tugas di laman sosial,” katanya.

Kelmarin, dua anggota polis dari cawangan Gerakan IPK Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23, maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di kilometer 183.4 LPT, dekat Maran.

Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan yang membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan semasa kejadian berlaku jam 3.20 petang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia