Penutupan aduan RSPO ke atas IOI Corp tingkat penarafan, kata Moody’s
KUALA LUMPUR: Pengumuman IOI Corporation Bhd bahawa Panel Aduan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) secara rasmi telah menutup kes aduan membabitkan subsidiari ladang kelapa sawitnya di Ketapang, Indonesia, membuahkan penarafan kredit positif ke atas syarikat itu, kata Moody’s Investors Service.
Moody’s dalam satu kenyataan semalami, berkata penyelesaian itu mencerminkan pengiktirafan oleh pihak -pihak yang berkepentingan dalam industri ke atas komitmen kumpulan dalam pengeluaran minyak sawit yang lestari.
“Penutupan kes itu juga telah melupuskan risiko sekatan tambahan berikutan aduan yang dibuat, jika tidak diambil tindakan, akan menjejaskan pendapatan akibat kehilangan pelanggan,” katanya.
RSPO merupakan persatuan pihak-pihak yang berkepent- ingan dalam industri minyak kelapa sawit, ia mempromosikan perkembangan serta penggunaan produk minyak sawit yang lestari.
Sebuah pertubuhan alam sekitar, Aidenvironment, telah mengecam kerja-kerja pembersihan tanah gambut oleh IOI di Ketapang yang mengakibatkan syarikat tersebut digantung oleh RSPO antara April dan Ogos 2016. Penggantungan itu ditarik balik selepas syarikat mengambil tindakan bagi menangani kebimbangan itu, kata Moody’s.
Bagaimanapun, kes itu terus dibuka walaupun kumpulan sedang melaksanakan satu pelan tindakan termasuk mendapatkan pengesahan dari pihak ketiga.
“Sejak insiden itu, IOI telah memperkenalkan Dasar Minyak Sawit Lestari yang menggariskan komitmennya untuk mematuhi beberapa langkah mesra alam seperti menghentikan pemusnahan hutan, pembangunan tanah gambut dan pembangunan kawasan pemuliharaan yang bernilai tinggi.
“IOI juga telah mengambil beberapa langkah lain bagi memperbaiki amalan kelestarian, termasuk mendapatkan pengesahan pihak ketiga dalam usahanya ke arah perlaksanaan dasar-dasar kelestarian. Langkah-langkah ini mendapat perakuan daripada Greenpeace, sebuah pertubuhan aktivis alam sekitar, pada 2017,” katanya.
Kesedaran yang semakin meningkat di kalangan pihakpihak berkepentingan termasuk pelanggan dan pelabur mengenai isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) telah mendorong pengeluarpengeluar minyak kelapa sawit melaksanakan amalan kelestarian yang menerbitkan pemantauan yang ketat bagi mengurangkan impak ESG yang negatif.
“Di tengah-tengah peningkatan kesedaran dan per- mintaan untuk pengeluaran yang lestari, kami menjangkakan syarikat seperti IOI, yang mempunyai pensijilan RSPO, mendapat faedah daripada unjuran jangka panjang dan kedudukan yang lebih baik, kata Moody’s.
Minyak sawit mentah dan derivatif yang diperakui, semakin dituntut oleh syarikat-syarikat global terkemuka, terutama di Eropah dan Amerika Utara.
Moodys berkata berdasarkan pada andaian harga MSM yang berjumlah RM2,300 satu tan, keuntungan IOI dijangka kekal stabil, dengan keuntungan operasi sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh 12-18 bulan.
“Standard kelestarian yang ketat tidak akan meningkatkan pendapatan IOI secara serta- merta tetapi mereka berjaya menghadkan risiko kerosakan reputasi dan kehilangan pelanggan daripada aduan selanjutnya,” katanya lagi. — Bernama