Cara-cara menangani tugas dalam pekerjaan baharu
JIKA anda seorang graduan yang baharu memasuki alam pekerjaan, anda akan mendapati bahawa terdapat tugas-tugas di tempat kerja yang lebih kurang sama dengan pengalaman semasa anda menjalani latihan industri atau menyertai aktiviti kokurikulum di sepanjang pengajian anda.
Tetapi bagaimana jika anda diberi tugas yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini?
Pada mulanya, anda akan berasa cemas, keliru dan kecewa apabila diberi tugasan yang anda tidak pernah kendalikan.
Namun begitu, tidak kira betapa sukarnya tugas baharu ini, adalah penting untuk memahami bahawa anda diberi tanggungjawab oleh majikan anda untuk melaksanakannya.
Oleh itu, daripada menganggapnya sebagai satu masalah, anda boleh melihat tugas baharu ini sebagai peluang yang baik untuk anda memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pengalaman baharu, terutama apabila ia membawa anda keluar dari zon selesa.
Berikut adalah beberapa cara untuk menangani tugas dalam pekerjaan baharu: BERTANYA DENGAN ORANG SEKELILING Satu perkara paling mu- dah yang anda boleh lakukan adalah bertanya dengan orang sekeliling.
Anda boleh bertanya dengan penyelia anda tentang butiran tugas atau dengan rakan sekerja yang berpengalaman tentang cadangan melaksanakan tugas.
Anda juga boleh berbincang dengan ahli keluarga atau kawan anda yang mungkin pernah melakukan tugas yang sama.
Dalam apa jua keadaan, bertanyakan soalan memberikan gambaran tentang tugas yang anda sedang kendalikan.
Sekurang-kurangnya, ia mampu membantu anda merapatkan hubungan dengan rakan-rakan sekerja. SEGERA MEMBUAT PENYELIDIKAN
Apabila anda menerima tugas baharu, buat penyelidikan dengan segera.
Sekiranya tempat kerja anda menyimpan kerjakerja terdahulu atau manual yang berkaitan dengan tugas anda, anda boleh menggunakan bahan-bahan tersebut sebagai rujukan untuk anda memahami cara tugas tersebut dilakukan.
Di samping itu, dengan adanya akses ke World Wide Web, anda boleh mencari secara dalam talian tentang tip, tutorial atau maklumat yang berkaitan dengan tugas anda. MULAKAN TUGAS YANG PALING MUDAH
Sebaik sahaja anda mempunyai pemahaman yang umum tentang tugas anda, anda boleh bermula dengan bahagian yang paling mudah.
Anda boleh menganggap langkah ini sebagai satu warmup sebelum menghadapi proses kerja yang anda akan lalui seterusnya.
Elakkan menangani bahagian tugas yang sukar dahulu kerana ia akan memberi tekanan yang boleh menyebabkan anda tidak sempat melaksanakan tugas dalam masa yang diberikan. PERCAYA PADA DIRI SENDIRI
Lebih penting, anda perlu percaya dengan keupayaan anda untuk menangani tugas baharu.
Selagi anda berusaha bersungguh-sungguh dan terbuka dengan kritikan yang membina, menangani tugas baharu boleh memberi anda keyakinan untuk melakukan yang terbaik dalam kerja anda.
Dan apabila anda telah berjaya menyelesaikan tugas, lihat semula keseluruhan proses kerja dan kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda supaya anda boleh menangani tugas yang hampir sama dengan lebih baik pada masa akan datang.
Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – sebuah inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak.
Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.