Firma Taiwan mahu perkenal IoV ke pasaran Malaysia
KUALA LUMPUR: Syarikat berpangkalan di Taiwan, Elitegroup Computer Systems Company Limited berhasrat memperkenalkan platform ‘Internet of Vehicles’ (IoV) yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan kenderaan menggunakan data raya ke pasaran Malaysia.
Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Danny Chou berkata IoV membolehkan pemantauan dan kawalan tingkah laku pemanduan ke atas seseorang individu, terutamanya dalam industri pengangkutan pintar.
“Tingkah laku pemandu boleh dipantau menerusi kamera yang dipasang di tempat duduk pemandu. Kamera yang dikawal oleh sistem komputer ini mampu mengesan tingkah laku melalui interaksi mata dan pergerakan tangan,” katanya kepada Bernama pada Seminar Kecemerlangan Taiwan: Penyelesaian Pengangkutan Pintar di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengurus Lanner Electronics Incorporated bahagian Eropah dan Asia Pasifik, Andy Lan berkata syarikatnya berhasrat menjadi pusat sehenti membekalkan komponen untuk industri pengangkutan pintar bagi pasaran Malaysia
Katanya ia termasuk sistem pemantauan kereta api, peranti sistem pengurusan maklumat keselamatan fizikal dan peranti perantara muka kenderaan.
“Kami mempunyai ekosistem yang sangat kuat, daripada peirisian dan perkakasan jadi kita boleh bantu membekalkannya kepada pelanggan dalam satu tempat sahaja.
“Jadi pelanggan tidak perlu risau jika tidak mendapat kelengkapan yang lengkap atau tidak serasi atau tidak lengkap,” katanya.
Seminar tersebut merupakan sebahagian daripada program Ekspo Taiwan 2018 yang bermula kelmarin hingga 27 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). — Bernama