Pengerusi Public Bank terima pengiktirafan
KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow memperoleh satu lagi pengiktirafan atas kecemerlangan beliau apabila terpilih untuk Anugerah ‘The Brand Laureate Hall of Fame – Lifetime Achievement Award 2018 – MAN OF THE YEAR’ daripada Yayasan Asia Pacific Brands.
Presiden The Brand Laureate, Dr KK Johan berkata, anugerah khas itu adalah sebagai mengiktiraf keyakinan, keazaman, semangat tinggi dan tidak mudah luntur Teh dalam membina jenama Public Bank ke tahap tertinggi yang tiada bandingannya.
“Selaku Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh menetapkan matlamatnya dengan penuh bersemangat dan komitmen.
“Pencapaian yang cemerlang itu terhasil daripada keyakinan, keazaman, semangat yang tinggi dan tidak mudah luntur untuk membina jenama yang terbaik.
“Beliau telah menetapkan trend baharu dan amalan terbaik yang memberi kesan kepada negara dan orang ramai melalui semangat kepemimpinan dan keusahawanan beliau. Sesungguhnya andalah sumber inspirasi kepada mereka yang mahu membina jenama masing-masing, beliaulah kebanggaan negara,” katanya berucap pada majlis Anugerah The Brand Laureate Hall of Fame yang diadakan di Singapura.
Pada majlis yang sama, Public Bank juga menerima Anugerah ‘The BrandLaureate BRAND OF THE YEAR’ ( Jenama Terbaik) Tahun 2018 kerana memenuhi kriteria pemilihan dari segi Strategi Jenama, Budaya Jenama, Inovasi Jenama, Kesetiaan Jenama, Komunikasi Jenama dan Kepimpinan Jenama.