13 sekolah DUN Layar dijangka sertai sesi ‘ Town Hall’ pendidikan 28 Oktober
BETONG: Sebanyak 13 sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar dijangka menyertai sesi ‘Town Hall’ Pembangunan Pendidikan DUN Layar pada 28 Oktober ini yang dirangka khas membimbing pemimpin akar umbi.
Program sempena Betong Fest 2018 itu akan berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
Menurut jurucakap penganjur, sesi ‘Town Hall’ tersebut yang diilhamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong.
“Program ini adalah sebahagian pendekatan untuk mendekati warga pendidikan dan masyarakat dalam proses perolehan dan penyaluran maklumat.
“Medium ini bagi menerangkan dan memberi ruang kepada pihak-pihak berkepentingan tentang aspek kemajuan sekolah, memberi pandangan dan cadangan untuk mewujudkan persekitaran sekolah berkesan dan mengupayakan kemenjadian murid-murid,” katanya.
Jelasnya, penganjur men- yasarkan seramai 300 orang terlibat terdiri daripada pemimpin setempat, pemimpin organisasi ( PPD Betong), pemimpin sekolah (pengetua, guru besar dan penolong-penolong kanan), wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta orang ramai.
“Program ini bertujuan mewujudkan kesedaran dan jurang pencapaian pendidikan (akademik) antara bandar dan luar bandar.
“Selain itu mewujudkan kolaboratif antara kalangan pemimpin sekolah, masyarakat dan pemimpin setempat untuk meningkatkan prestasi kurikulum, seterusnya menerapkan hubungan dua hala,” katanya.
Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan ( SK) Abang Abd Kadir, SK Nanga Ajau, SK Nanga Lawih, SK Nanga Passa, SK Nanga Spak, SK Saka, SK St Augustine, SK St Mark, SK St Peter & St Paul, SK St Bartholomew dan SJK (C) Chung Hua Betong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hulu Layar, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK St Augustine, Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA ( MRSM) Betong.