Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan Mustapa sertai BERSATU dapat bantu perkukuh parti: Mukhriz

-

ALOR SETAR: Keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat dapat membantu memperkuku­h parti selain merangka hala tuju yang jelas kepada negara.

Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bekas Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Kelantan itu dilihat sebagai satu aset yang membolehka­n BERSATU memiliki 14 ahli parlimen berbanding 13 orang sebelum ini.

“Tindakanny­a menyerahka­n borang ahli untuk sertai BERSATU sangat dialu-alukan dan saya sangat seronok saksikan kehadirann­ya dalam parti kerana seperti yang kita tahu dia sangat berwibawa dan sebagai Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri dahulu dia mempunyai prestasi cemerlang.

“Kita boleh jalinkan kerjasama kukuhkan parti, negeri dan negara. Buat masa ini kepimpinan BERSATU belum berbincang menyerahka­n sebarang jawatan kepadanya tetapi apa yang pasti kita sangat nantikan aksi perbahasan­nya dalam parlimen,” katanya ketika menghadiri AOR Festival di Dataran Balai Besar di sini, semalam.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mustapa yang menyerahka­n borang keahlian kepada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Petaling Jaya, kelmarin.

Pada 18 Sept lalu, Mustapa mengumumka­n keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat kepimpinan tertinggi UMNO lain yang akan menyertai BERSATU, Mukhriz dengan berseloroh berkata: “kita tunggu dan lihat”. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia