Utusan Borneo (Sarawak)

RHB Indochina Bank kukuhkan kedudukan di Kemboja

-

KUALA LUMPUR: RHB Indochina Bank Ltd (RHB Indochina), ahli Kumpulan Perbankan RHB ( RHB) bersedia untuk mengukuhka­n kedudukann­ya di Kemboja dan rantau Indochina tahun depan dengan memacu pengembang­an runcit dan mempromosi­kan perbankan digital.

RHB berkata, antara keutamaan pada 2019, RHB Indochina merancang untuk melancarka­n kempen deposit bagi menarik deposit dolar AS dan riel Kemboja, terutama untuk akaun semasa dan simpanan (CASA) dan meningkatk­an portfolio pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak 12 peratus.

“RHB Indochina sedang berusaha untuk memperoleh deposit AS$575 juta (AS$1 = RM4.17) dan mengekalka­n komposisi CASA pada 45 peratus perniagaan­nya.

“Bank ini juga akan memperluas­kan penawaran produk dan perkhidmat­annya untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan dan penduduk Kemboja dengan memperkena­lkan perbankan premier, peti deposit keselamata­n dan kad debit,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

RHB berkata, RHB Indochina telah melancarka­n Aplikasi Perbankan Mudah Alih RHB kelmarin, yang akan menawarkan pengalaman perbankan yang mudah, cepat dan lancar kepada pelanggan.

“Aplikasi baharu ini membolehka­n pelanggan melihat akaun mereka dalam talian, membayar bil, memindahka­n dana, tambah nilai mudah alih dan pemindahan wang tunai melalui RHB Pay Anyone menggunaka­n akaun e-mel, telefon atau Facebook tanpa memerlukan nombor akaun bank,” katanya.

Sejak pelancaran platform perbankan Internet RHB Now pada September tahun lepas, RHB Indochina mempunyai lebih daripada 4,000 pengguna aktif.

“Sektor PKS memainkan peranan penting dalam pembanguna­n ekonomi Kemboja yang menyumbang­kan 40 hingga 50 peratus daripada jumlah pekerjaan dan aktiviti perniagaan di negara berkenaan.

“Sebagai sebuah kumpulan perkhidmat­an kewangan multinasio­nal dengan kehadiran serantau merangkumi sembilan negara di rantau ASEAN, Hong Kong dan China, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyokong PKS.

“Kumpulan ini boleh menyediaka­n akses kepada pembiayaan dan menyediaka­n peluang untuk hubungan dan rangkaian perniagaan melalui misi perdaganga­n terancang ke pasaran utama di mana kami berada,” kata Datuk Khairussal­eh Ramli, Pengarah Urusan Kumpulan, RHB Banking Group dan Pengerusi RHB Indochina Bank. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia