Ia untuk golongan kurang berkemampuan yang benar-benar perlu dibantu di Sarawak
LAWAS: Kerajaan Sarawak meneruskan pelaksanaan program baik pulih dan bina baharu rumah kepada golongan kurang berkemampuan yang benar-benar perlu dibantu di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata untuk daerah Lawas sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan tahun ini untuk program baik pulih dan bina baharu.
Katanya bantuan itu adalah komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan golongan kurang berkemampuan terus dibantu.
“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak ( GPS) memberi jaminan untuk meneruskan proram baik pulih dan bina baharu rumah bagi meringankan beban golongn memerlukan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Kerajaan Sarawak Minor Rural Project (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Kampung Tanjung Trusan, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB) Bukit Sari Lawas yang juga Pengerusi PPRMS Bukit Sari Lawas Kaunselor Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu PPRMS Pusat Khidmat Bukit Sari yang dipengerusikan Awangku Jinal melibatkan ketua masyarakat dan Pejabat Daerah dalam memberi keutamaan kepada golongan memerlukan.
Katanya, RM15,000 diperuntukkan untuk setiap program baik pulih rumah melalui konsep gotongroyong.
Jelas beliau lagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyediakan dana khas untuk meneruskan programprogram pembangunan luar bandar di bawah MRT dan Program Tranformasi Luar Bandar ( RTP) di bawah kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan).
“Manakala sebagai wakil rakyat dan kerajaan, kami akan bekerja keras untuk memastikan masyarakat luar bandar di negeri ini menerima segala kemudahan asas yang diperlukan untuk hidup sejahtera,”ujarnya.
Katanya kerajaan GPS menyediakan juga peruntukan kepada Ahli Parlimennya sebagaimana turut disalurkan kepada ADUN yang lain sebelum ini.
Terdahulu Awangku Jinal berkata, rakyat di peringkat akar umbi perlu lebih peka dalam menentukan pemimpin yang benar menyelami kehendak dan keperluan rakyat di daerah ini.
“Rakyat perlu tahu hala tuju mereka untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang tahu hati budi rakyat, bukannya pemimpin yang hanya muncul semasa pilihan raya,” ujarnya.
Selain itu katanya, rakyat perlu mengelak daripada mudah terpengaruh dengan media sosial.
Seramai 60 penerima membabitkan sembilan zon di daerah Lawas terpilih menerima bantuan itu.