Utusan Borneo (Sarawak)

PBB dilindungi skim perlindung­an insurans berkelompo­k

-

SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melaksanak­an skim perlindung­an insurans berkelompo­k kepada semua Pegawai Bomba Bantuan (PBB) selepas mereka dilantik dan ditauliah.

Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman berkata, skim ini bermula dari September 2017 dan akan tamat pada Oktober 2019.

“Ini adalah merangkumi tuntutan kematian, kemalangan, kecacatan kekal dan separa kekal serta khairat kematian memberi manfaat sehingga RM15,000 kepada waris PBB berkenaan.

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu PBB berkenaan dalam memberi perlindung­an dan juga menjaga kebajikan mereka,” jelasnya.

Khirudin berkata demikian ketika menyempurn­akan Majlis Tamat Latihan Pentauliah­an Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2018 di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, semalam.

Menurutnya, antara lain kemudahan yang akan diterima PBB adalah elaun kursus pentauliah­an sebanyak RM600, elaun bertugas sebanyak RM6 sejam, elaun ‘bounty’ atau sagu hati tahunan mengikut jumlah jam bertugas terkumpul dalam tempoh setahun.

“RM520 setahun bagi full bounty, RM390 setahun bagi 3/ 4 bounty dan RM260 setahun bagi half bounty, elaun penyelengg­araan pakaian RM125 setahun bagi tahun kedua perkhidmat­an.

“Dan elaun perjalanan berdasarka­n kadar yang dinyatakan dalam Prosedur Pembayaran Elaun PBB.

“Semua manfaat ini adalah usaha terbaik jabatan dalam memberi motivasi yang tinggi kepada PBB,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, seramai 32 PBB berjaya menamatkan latihan selama 10 hari di BBP Sungai Merah menerima sijil pentauliah­an masing-masing.

Khirudin dalam ucapannya turut menasihati PBB menjaga nama baik jabatan dan mengekalka­n disiplin supaya matlamat menjadi Organisasi Berprestas­i Tinggi dapat dicapai bersama-sama tidak kira sama ada Pegawai Sepenuh Masa (PSM) mahupun PBB.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri Sarawak Tiong Ling Hii, Ketua Zon 4 Sarawak Misran Bisara dan wakil Ketua Polis Daerah Sibu DSP Chung Aik Peng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia