Utusan Borneo (Sarawak)

Curi kabel, tiga lelaki ditahan

-

BUKIT MERTAJAM: Tiga lelaki yang aktif menjalanka­n kegiatan mencuri kabel berjaya ditahan polis ketika mereka baru sahaja selesai menjalanka­n kegiatan mencuri kabel di Jalan Chain Ferry, Perai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung kegiatan mereka, telah pergi ke lokasi kejadian di bawah jambatan di Jalan Chain Ferry itu pada jam 8.30 pagi dan mendapati terdapat tiga lelaki sedang berada di dalam sebuah kereta.

“Mereka yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil itu dipercayai baru sahaja selesai mencuri kabel yang terdapat di bawah jambatan berkenaan dan pemeriksaa­n terhadap kenderaan itu, polis menemui dan merampas satu gulung kabel yang dianggarka­n sepanjang kira-kira 100 meter.

“Polis juga merampas peralatan yang digunakan mereka untuk kegiatan itu antaranya pemotong kabel, playar dan pemutar skru serta sehelai vest warna oren. Siasatan mendapati tiga lelaki itu turut menyamar sebagai kontraktor penyelengg­aran ketika mencuri kabel tersebut,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga lelaki berusia 38 hingga 49 tahun itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa bulan lepas.

Nik Ros Azhan berkata tiga lelaki itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang baru sahaja memecah masuk rumah jirannya dalam kejadian di Jalan Permatang Tengah, di sini malam tadi.

Katanya siasatan mendapati lelaki tersebut aktif menjalanka­n kegiatan pecah rumah di sekitar Bukit Mertajam itu memecah masuk rumah jirannya menerusi tingkap dan belum sempat mencuri apa- apa kerana perbuatann­ya itu telah disedari pemilik kediaman tersebut.

“Suspek menggunaka­n pemotong besi besar memotong gerigi tingkap sebelum masuk dan dia terus keluar menerusi pintu belakang selepas pemilik rumah tersebut menyedari kehadirann­ya. Lelaki itu ditahan di rumahnya selepas jirannya membuat laporan polis dan berjaya mengecam suspek,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu kini direman selama empat hari dan siasatan mendapati dia terlibat sekurang-kurangnya lima kes berkaitan sejak bulan lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia