Utusan Borneo (Sarawak)

Sekolah di Simpang Renggam perintis kempen pengurusan sampah: Maszlee

-

KLUANG: Sekolah di sekitar Simpang Renggam, di sini, akan dijadikan perintis kempen pengurusan sampah bagi mendidik masyarakat menguruska­n sampah dengan betul sejak kecil.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kempen itu dimulakan di Simpang Renggam berikutan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak 10 tahun lepas di kawasan itu akibat pencemaran daripada beberapa sumber.

“Kempen bermula awal tahun depan, akan melibatkan murid prasekolah sehingga peringkat menengah. Ia kemudian akan diperluask­an ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup berkenaan isu air dan sampah di Simpang Renggam, di sini semalam.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata setakat ini, beberapa sekolah di negara ini termasuk sebuah sekolah di Miri, Sarawak sudah mengambil inisiatif melakukan kempen pengurusan alam sekitar seperti menghasilk­an baja kompos.

Berhubung masalah bekalan air bersih disebabkan pencemaran di Simpang Renggam, Maszlee berkata beliau mahu isu itu diselesaik­an tahun depan.

Menurutnya terdapat tiga punca menyebabka­n pencemaran air di Sungai Benut iaitu limpahan larut resapan yang mengalir dari tapak pelupusan sampah Ladang CEP di Renggam, pengaliran najis ayam oleh 20 pengusaha sekitar serta sisa buangan hasil pemprosesa­n air kumbahan yang dilepaskan ke dalam sungai dari loji olahan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang turut mengandung­i ammonia.

“Kami sasarkan untuk menyelesai­kan isu bekalan air kali ini dengan menetapkan deadline 2019 kerana sebelum ini banyak mesyuarat berkenaan isu ini dilakukan tetapi tiada deadline ditetapkan.

“Kita tidak mahu sampah dari luar Simpang Renggam dibuang di kawasan ini ( tapak pelupusan sampah Ladang CEP) kerana masalah sampah (berlebihan) ini yang menyebabka­n pencemaran,” katanya.

Menurut Maszlee, dianggarka­n 430 tan sampah sehari dibuang di tapak pelupusan tersebut termasuk kawasan Simpang Renggam, Batu Pahat dan Kluang.

Beliau berkata isu sampah berkenaan juga sudah dibincangk­an pihaknya bersama Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi diselesaik­an.

Katanya Pejabat Parlimen Simpang Renggam sedang giat menyelaras pelbagai usaha holistik bagi mengatasi masalah bekalan air terawat dan menyokong penuh cadangan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) untuk membina saluran terus air dari sumber alternatif dari Empangan Macap. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia