Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 20 rumah, kedai dan bangunan rosak akibat ribut

-

KEPALA BATAS: Lebih 20 buah rumah, kedai, bangunan dan sekolah di sekitar Kepala Batas di sini mengalami kerosakan akibat ribut dan angin kencang yang melanda kawasan itu petang kelmarin.

Ribut dan angin kencang disusuli hujan lebat pada jam 5 petang itu menyebabka­n bumbung 20 buah rumah, kedai, bangunan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di Jalan Satu, Lahar Bubu,Kampung Pongsu Seribu, Taman Seri Serdang serta Bertam, diterbangk­an.

Manakala sebuah rumah di Kampung Permatang Sireh rosak selepas ditimpa pokok besar dan hujan lebat lebih dua jam itu.

Seorang mangsa di Lahar Bubu, Abdul Hashim Ismail, 52, berkata semasa kejadian, beliau dan isteri serta seorang cucu berusia lapan bulan berada dalam rumah sebelum tiba- tiba terdengar bunyi angin kuat serta sebahagian bumbung di bahagian dapur diterbangk­an angin.

Katanya, beliau terus mengarahka­n isterinya membawa cucu mereka masuk ke dalam kereta sebelum dia mengambil beberapa beg duit dan terus ke rumah ibunya yang tidak jauh dari situ kerana bimbang ribut susulan.

“Waktu itu saya hanya fikirkan isteri dan cucu, kami terus ke rumah mak saya untuk berlindung kerana takut angin kuat serta ribut susulan. Selepas hujan berhenti kirakira jam 7.30 malam baharu saya balik ke rumah untuk tengok apa yang terjadi.

“Bahagian dapur rumah kami penuh dengan air hu- jan dan beberapa barang elektrik juga rosak. Namun saya bersyukur kami selamat manakala dua anak saya berada di tempat kerja mereka semasa kejadian,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima laporan daripada mangsa yang terlibat dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berhubung kejadian ribut dan angin kuat berkenaan.

Katanya lawatan awal sudah dijalankan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Permatang Serdang malam kelmarin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia