Utusan Borneo (Sarawak)

Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS pada minggu ini, diasak oleh perkembang­an luaran serta prestasi dolar AS yang terus kukuh, kata peniaga.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik­an Pasaran Global FXTM, Jameel Ahmad berkata sentimen global dan prestasi pasaran saham juga akan mempengaru­hi pergerakan ringgit minggu ini.

“Sama ada pasaran saham global terus terjejas akibat ketidakten­tuan sama yang dialami sejak beberapa bulan lepas, akan menjadi faktor utama yang menentukan prestasi ringgit pada minggu depan (minggu ini).

“Jika aktiviti jualan saham berterusan di pasaran global pada minggu depan (minggu ini) maka ringgit juga berkemungk­inan mendapat kesannya apabila pelabur hilang minat terhadap pasaran negara pesat membangun,” katanya.

Jameel berkata ringgit juga berisiko untuk ditekan menghampir­i paras 4.20 berbanding dolar AS.

“Setakat ini, gabungan kekukuhan dolar AS dan ketidakten­tuan pasaran global terbukti menekan ringgit untuk jatuh ke paras menghampir­i 4.20 minggu depan berbanding 4.15,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pa- kar Ekonomi Malaysian Industrial Developmen­t Finance Bhd, Dr Kamarudin Nor berkata ringgit susut berbanding dolar AS ke paras 4.1755 minggu sebelumnya – paras yang sebelum ini dicatat pada November tahun lepas.

Menurutnya, prestasi ringgit juga seiring nasib mata wang lain di rantau ini.

“Ini berikutan pengukuhan ketara dolar AS yang mana indeks mata wang negara maju itu melonjak kepada 96.68 mata iaitu hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh 52 minggu.

“Ringgit susut 0.42 peratus minggu ini (minggu lepas) yang menjadikan­nya turun 3.078 peratus berbanding dolar AS setakat tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa terdekat ini, katanya, kebimbanga­n mengenai perang dagangan, kelembapan ekonomi dan dasar monetari China yang lebih ketat akan mempengaru­hi risiko pelabur terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Di peringkat tempatan, jangkaan terhadap Bajet 2019 turut menjadi faktor penentu prestasi ringgit yang menjadikan­nya berdepan tekanan minggu depan dan dijejaskan lagi oleh penurunan harga minyak, kata Kamarudin.

Bagi perbanding­an Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1730/1770 daripada 4.1560/1600, minggu ini.

Berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0154/0189 daripada 3.0129/0169 pada Jumaat sebelumnya manakala berbanding yen Jepun, ringgit turun kepada 3.7282/7321 daripada 3.6982/7027.

Ringgit bagaimanap­un mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3419/3495 daripada 5.4132/ 4205 dan naik berbanding euro kepada 4.7384/7438 daripada 4.7619/7674, Jumaat sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia