Ahli akademik, graduan harus pupuk semangat inovasi tinggi dalam diri
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin Sarawak akan dikenali sebagai bukan sahaja hebat dalam ekonomi digital, malah menjadi pendukung kuat Revolusi Industri 4.0 dan Pendidikan 4.0.
Menurut beliau, Sarawak ketika ini sedang berusaha gigih dalam membangunkan ekonomi digital yang mampan, di mana Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak untuk mengawal selia strategi dan inisiatif digital di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022, terdapat 29 tindakan strategi bagi sektor ekonomi iaitu dalam bidang pertanian, industri pengeluaran 4.0, pelancongan, bandar pintar (infrastruktur fizikal dan utiliti, perumahan dan pembangunan bandar, pengangkutan, logistik dan rantaian bekalan), kesihatan digital, e-dagang, kerajaan digital dan sosial.
Beliau menambah, strategi ini turut mencakupi 18 tindakan strategi pemangkin merangkumi infrastruktur digital iaitu kemahiran digital dan pembangunan bakat, kajian dan pembangunan ekonomi digital, inovasi digital dan keusahawanan, digital dan data, keselamatan siber dan keterangkuman digital.
“Saya percaya semua tindakan strategi ini akan memacu Sarawak ke dalam ekonomi digital sekali gus menjadi barisan hadapan dalam dunia digital,” katanya ketika menyempurnakan sidang pertama Konvokesyen UNIMAS Ke-22 semalam.
Turut hadir Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Pro Canselor UNIMAS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Justeru, Tun Taib yang juga selaku canselor UNIMAS menegaskan bahawa para ahli akademik dan graduan hari ini harus memupuk semangat inovasi yang tinggi dalam diri, kerana untuk mencapai status tersebut memerlukan lebih ramai modal insan yang mampu mencipta inovasi baharu dan menjadi perintis teknologi masa depan.
“Peranan dan penglibatan Universiti Malaysia Sarawak dalam agenda besar ini amat dituntut, khususnya dalam mewujudkan budaya penyelidikan translasi yang berorientasikan ekonomi digital, yang mampu memberi impak jangka panjang kepada pem- bangunan Bumi Kenyalang,” katanya.
Tun Taib menambah, sebagai sebuah institusi ilmu terpenting di Sarawak, UNIMAS perlu memainkan peranan besar bukan sahaja dalam membangunkan modal insan tetapi lebih penting adalah membangunkan insan yang bukan sahaja menjadi pemain industri, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti.
Pada masa sama, beliau berharap untuk melihat hubungan erat dan mesra antara UNIMAS, kerajaan pusat dan Kerajaan Sarawak termasuk pihak industri dalam memajukan negeri ini.
“Saya percaya kepakaran yang dimiliki oleh ahli-ahli akademik UNIMAS dalam pelbagai disiplin ilmu akan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri ini,” ujarnya.