Kerajaan Pulau Pinang mohon cabar persempadanan semula oleh SPR
PUTRAJAYA: Kerajaan Pulau Pinang mahu mencabar pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya dilakukan tanpa mengikut perlembagaan, walaupun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah selesai diadakan.
Peguam Leong Cheok Keng, mewakili kerajaan Pulau Pinang berkata persempadanan semula itu yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum PRU14, akan kekal untuk dikuatkuasakan sekurangkurangnya lapan tahun.
Memetik Perkara 113 (2) ( ii) Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata peta sempadan kawasan pilihan raya itu akan dilaksanakan selama lapan tahun.
“Peta kawasan pilihan raya ini juga boleh diguna pakai dalam pilihan raya umum ke-15, dijadual pada 2023,” katanya.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, yang mempengerusikan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan, telah bertanya kepada Leong sama ada anak guamnya masih mahu meneruskan permohonan bagi kebenaran merayu berikutan perkara itu telah menjadi akademik susulan PRU14 sudah selesai diadakan.
Kerajaan Pulau Pinang memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan selepas kalah dalam tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang tidak memberikan kebenaran kepada kerajaan negeri untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar langkah persempadanan semula oleh SPR.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.
Hakim Ahmad turut bertanya kepada Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan sama ada beliau mewakili Peguam Negara (AG) Tommy Thomas atau SPR, susulan kenyataan dikeluarkan oleh AG pada 23 Julai lepas bahawa Jabatan Peguam Negara tidak lagi akan mewakili SPR di mahkamah.
Shamsul berkata, arahan diterimanya adalah untuk mewakili AG kerana kes dihujahkan di Mahkamah Tinggi pada peringkat awalnya berhubung permohonan untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman itu telah ditolak.
Hakim Ahmad kemudian menangguhkan pendengaran permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi kebenaran merayu dan mengarahkan pengurusan kes bagi perkara itu untuk membolehkan SPR melantik peguam.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 November tahun lepas, menolak permohonan kerajaan negeri bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar syor SPR bagi persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya.
Kerajaan Pulau Pinang juga memohon perintah bagi mengetepikan syor SPR itu dan daftar pemilih 2016 dibatalkan.
Kerajaan negeri turut kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan, yang menolak perkara itu pada 21 Feb tahun ini.
Ini mendorong kerajaan negeri membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dengan memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu. — Bernama