Mbappe memberikan respon segera, PSG menyamai rekod Spurs musim 1960/1961
PARIS, Perancis: Kylian Mbappe memberi respon apabila digugurkan selepas bermula di bangku simpanan dan membuka jaringan apabila Paris Saint Germain (PSG) menang 2-0 di Marseille Ahad lepas untuk mencipta kemenangan ke-11 dari 11 perlawanan Ligue 1 Perancis musim ini dan menyamai satu rekod yang agak lama bertahan di Eropah.
Mbappe tidak diletakkan dalam senarai kesebelasan utama PSG oleh jurulatih Thomas Tuchel dengan penyiaran Canal Plus melaporkan tindakan itu sebagai hukuman selepas beliau hadir lewat untuk perbincangan pasukan sebelum perlawanan.
Tetapi beliau dimasukkan pada minit ke-62 untuk menggantikan Eric-Maxim ChoupoMoting dan membuka jaringan tiga minit kemudian selepas menerima umpanan Angel Di Maria.
Ia adalah gol liga ke-10 Mbappe musim ini sebelum Julian Draxler melengkapkan jaringan pada minit kecederaan.
Kemenangan liga ke- 11 berturut-turut musim ini itu bermakna PSG menyamai rekod Tottenham Hotspur dari musim 1960/1961, rekod terbaik dari lima liga utama di Eropah.
“Ia adalah apa yang diperlukan oleh pasukan,” kata Mbappe.
“Pasukan hebat mengharapkan pemimpin dan mereka perlu dapat membuat perbezaan pada saat penting. Saya boleh mengambil peranan itu dan itu yang saya lakukan hari ini.”
Kemenangan adalah satu pencapaian hebat buat Tuchel, walaupun jika ia dicemari oleh beberapa aksi hambar PSG dalam Liga Juara-Juara ter- masuk seri 2-2 dengan Napoli pada pertengahan minggu.
Tetapi beliau mengakui keputusan diselubungi dengan keputusan menggugurkan Mbappe dari kesebelasan utama, di mana beliau menjelaskan ia satu langkah perlu.
“Saya tidak suka bermain tanpa Kylian. Saya tidak suka bermain tanpa beliau untuk perlawanan seperti ini,” katanya.
Kemenangan juga meletakkan PSG kini berkelebihan lapan mata di singahsana liga berbanding Lille, yang menewaskan Caen 1-0 pada perlawanan hari Sabtu.
Marseille kekal di tangga kelima tetapi kini 14 mata di belakang PSG.
Marseille sekarang sudah gagal menewaskan PSG dari 18 pertemuan dalam semua pertandingan sejak tujuh tahun yang lalu.
Ketika Neymar diturunkan dalam kesebelasan utama, Tuchel meletakkan Mbape dan Adrien Rabiot di bangku simpanan sementara Edinson Cavani tidak langsung berada dalam skuad bermain kerana kecederaan dan ini membolehkan Choupo-Moting membuat penampilan kesebelasan utama beliau.
Di Maria hampir membuka jaringan lebih awal tetapi cubaan beliau ditepis penjaga gol Marseille, Steve Mandanda tidak lama sebelum rehat.
Ketegangan sentiasa memuncak pada perlawanan di antara kedua-dua pasukan dan penolong Tuchel, Arno Michels diperintah meninggalkan tepi padang selain setiap kali Neymar mahu melakukan tendangan sudut, beliau dihujani objek kecil dibaling penonton.
Untuk mencari gol,Tuchel memasukkan Mbappe dan pertukaran itu membuahkan hasil apabila pemenang Piala Dunia 2018 bersama Perancis itu membuka jaringan hanya beberapa minit selepas dimasukkan tetapi PSG memerlukan gol minit kecederaan untuk menamatkan saingan menerusi rembatan Draxler. — AFP