SDG Team ungguli Liga Futsal SABERKAS Batu Kitang 2018
KUCHING: SDG Team dari Kampung Sandong merangkul kejuaraan Kejohanan Liga Futsal SABERKAS Cawangan Batu Kitang 2018 sekali gus membawa pulang Piala Lo Khere Chiang, wang tunai RM1,000 berserta pingat.
Manakala tempat ketua, ketiga dan keempat dimenangi pasukan Taman Sri Permai (TSP), Hasrat FC dari Kampung Haji Baki dan Kabura FC dari Kampung Bunga Rampai masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500, RM300 dan RM200 serta piala dan pingat.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang turut dihadiri Setiausaha SABERKAS Cawangan Batu Kitang, Shamsudin Unai dan pengerusi pengelola, Mohd Amin.
Menurut Lo merangkap pengerusi SABERKAS Batu Kitang, penganjuran Kejohanan Liga Futsal SABERKAS Cawangan Batu Kitang 2018 adalah sebagai landasan untuk memilih pemain-pemain bagi mewakili SABERKAS Cawangan Batu Kitang ke KASUS 2018.
Pada masa sama, katanya ia juga mencungkil bakat ahliahli SABERKAS Cawangan Batu Kitang dalam sukan futsal yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, beliau berkata akan memperuntukkan sejumlah RM80,000 kepada SABERKAS Batu Kitang pada tahun depan untuk menjalankan lebih banyak program.
Selain itu, katanya mengadakan aktiviti memanfaatkan kalangan belia termasuk meneruskan penganjuran Kejohanan Liga Futsal SABERKAS Cawangan Batu Kitang.
“Saya berharap peruntukan ini digunakan dengan sebaik-baiknya untuk belia di Batu Kitang dan saya terus menyokong SABERKAS Cawangan Batu Kitang demi belia di Batu Kitang,” katanya.
Kejohanan Liga Futsal SABERKAS Cawangan Batu Kitang 2018 berlangsung dua hari bermula 27 Oktober lalu memasuki penganjuran musim ketiga dan kali ini disertai sebanyak 14 pasukan dari sekitar kawasan DUN Batu Kitang.