Penubuhan UNIFOR tidak harus disalah anggap, ia untuk jaga keharmonian
KUCHING: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain (UNIFOR) tidak harus disalah anggap termasuk oleh kaum Melayu kerana ia untuk menjaga keharmonian hidup dalam kalangan pelbagai kaum di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masyarakat Melayu seharusnya memperjuangkan hak tanpa mengetepikan hak orang lain.
“Penubuhan UNIFOR janganlah disalah anggap. Sesungguhnya penubuhan UNIFOR adalah bertujuan menjaga keharmonian hidup dalam kalangan masyarakat berbilang agama, budaya dan latar belakang yang berbeza di negeri ini.
“Di Sarawak, kita hidup berbilang kaum dan tidak ada satu kaum yang boleh memerintah secara mutlak melainkan kita bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena merasmikan Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-7 (SBMS7) anjuran AKYBMS yang dihadiri Pengurus Besarnya Datu Dr Sanib Said yang juga pengerusi pengelola seminar berkenaan di sini, semalam.
Awang Tengah berkata, masyarakat Melayu harus bersatu dan menghormati serta bekerjasama dengan kaumkaum lain di negeri ini yang menekankan tentang semangat kenal mengenali dan beramah mesra antara kaum.
“Dari segi perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak, ia merupakan kunci kepada kejayaan kita selama ini. Namun perkara ini janganlah dipandang mudah.
“Kita sepatutnya melihat di mana kelemahan-kelemahan kita di mana koyak yang kita perlu jahitkan, di mana retak yang perlu kita paterikan, agar perpaduan kita sentiasa utuh,” ujarnya.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan terus mengiktiraf pemilikan tanah dengan mengeluarkan surat hak milik tanah kepada masyarakat Melayu di Sarawak.
Katanya ia bagi memastikan tanah-tanah berkenaan mempunyai nilai tinggi bagi membantu masyarakat itu dan Program Penyukatan Kampung Tradisi akan diteruskan.
“Kini kampung-kampung dalam bandar raya Kuching yang dulu tidak ada surat hak milik tanah, kini sudah ada.
“Ia adalah hasil daripada program penyukatan di kampung di mana mereka diberi surat hak milik untuk tempoh selamalamanya,” katanya.
Awang Tnegah yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS berkata, ia merupakan komitmen Kerajaan Sarawak bagi mengiktiraf kampung-kampung masyarakat Melayu yang sekian lama telah wujud.
“Kerajaan Sarawak melalui Pelan Pembangunan Semula Bandar juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk orang Melayu menceburi bidang pembangunan hartanah mereka.
“Ini bagi memastikan orang Melayu masih memiliki aset di lokasi-lokasi yang strategik di dalam bandar,” tegasnya.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perushaan Kecil dan Sederhana (PKS) Datuk Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.