Hampir separuh laluan sudah diturap sepenuhnya, bakinya dalam proses pembinaan
MARUDI: Pengguna Jalan Miri-Marudi kini sudah boleh menarik nafas lega, dengan keadaan jalan berkenaan yang semakin bertambah baik dan lebih selesa dilalui berbanding keadaannya sebelum ini.
Hampir separuh laluan jalan berkenaan sudah diturap sepenuhnya manakala baki yang lain sedang dalam proses pembinaan.
Tinjauan Utusan Borneo mendapati ramai pengguna berpuas hati dengan keadaan jalan berkenaan pada hari ini dan menurut mereka walaupun proses penurapan, belum sampai ke pangkalan feri di Nanga Ridan, tetapi sekurang- kurangnya jalan dari persimpangan KM14 hingga Jambatan Sungai Arang dalam keadaan sangat memuaskan dan dapat dilalui kenderaan sama ada kecil atau besar.
“Kami amat gembira sekarang kerana keadaan jalan raya yang penuh kontroversi sebelum ini, sudah semakin baik kerana diperbaiki dan diturap dengan kemas dan berkualiti oleh kontraktor yang dilantik iaitu CMS Sdn Bhd,” kata salah seorang pengguna jalan, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Ngo.
Ketika ini, kerja meratakan jalan dengan batu halus sedang rancak dilakukan oleh pihak kontraktor di beberapa laluan dan ia sudah dapat digunakan dengan selamat oleh pengguna jalan raya.
“Itu pun kita amat berharap ia tidak dirosakkan oleh lori yang membawa muatan ber- lebihan, terutama lori- lori sawit, hingga ke simpang jalan utama (Jalan Miri-Bintulu).
“Kalau lori-lori ini tidak dikawal dengan muatan berlebihan, maka jalan yang sudah dibina semula ini, walaupun diturap pasti akan rosak dan pecah semula.
“Jika ini berlaku ia sudah semestinya satu kekesalan dan kerugian kepada penduduk Marudi,” kata salah seorang ketua kaum di sini.
Sehubungan itu beliau berkata, orang ramai yang ingin menggunakan jalan berkenaan, tidak perlu risau lagi dan boleh melihat sendiri keadaan jalan berkenaan ketika ini dan bukan mendengar daripada orang lain semata- mata.
“Pergi dulu (datang ke Marudi) dan kalau tidak memuaskan baharu mengadu mengenai keadaan jalan raya ini.
“Bagi yang menulis mengenai jalan ini, tidak kira sama ada media sosial atau bukan, tulislah secara berhemah dan bukan mendengar cerita daripada orang luar sahaja.
“Begitu juga, jangan mengadu atau menulis secara melulu, jika belum pernah menggunakan jalan ini, kerana mereka yang sering mengkritik ialah mereka tidak pernah melalui jalan ini, bukan seperti kami, pengguna yang hampir setiap hari melalui jalan ini dan lebih tahu mengenai perkembangannya,” jelas tuai rumah itu lagi, yang enggan namanya didedahkan.
Tambahnya, apabila laluan menuju ke pangkalan feri di Sungai Ridan sudah siap diturap sepenuhnya kelak, maka ia semakin menjimatkan masa memandu daripada dua jam sebelum ini (semasa diperbaiki) kepada sejam sahaja, untuk tiba di pangkalan feri dan seterusnya, pekan Marudi.