Bekas pengarah syarikat didenda terima deposit haram
PETALING JAYA: Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan emas, Royal Gold yang bergelar ‘Datuk’ didenda RM50,000 atau 24 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah lebih RM500,000 daripada dua pelabur, empat tahun lepas.
Hakim Mabel S.Muttiah menjatuhkan hukuman itu selepas Datuk Yap Yee Hoo, 62, menukar pengakuan kepada bersalah atas keduadua pertuduhan itu pada hari pertama perbicaraannya, semalam.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa menerima deposit daripada seorang peguam, Tan Cheng Tat, 51, berjumlah RM446,700 dan seorang ahli perniagaan, Mastura Abdul Muthalib, 53, berjumlah RM70,000 tanpa lesen sah di tingkat 1-2, Wisma BU 8, No. 11, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, di sini antara Julai dan Nov 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Yap dilepas tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan menyalahgunakan wang pelanggan syarikat berjumlah RM666,700.
Mabel membuat keputusan itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkifli memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima surat representasi oleh tertuduh memohon untuk mengkaji semula dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dihadapinya.
Pada 23 Februari lalu, Yap didakwa sebagai pen- garah syarikat Royal Gold dengan sengaja tidak jujur menyalahgunakan wang pelanggan syarikat RM446,700 untuk kegunaan lain di Public Bank cawangan Taipan Subang Jaya, di sini antara Julai dan November 2014.
Bagi pertuduhan kedua pula, Yap dituduh menyalahgunakan harta milik Mastura iaitu jongkong emas yang bernilai RM220,000 untuk tujuan pelaburan di Syarikat Royal Gold Sdn. Bhd., No. 111 & 112, Blok F, Phileo Damansara 1, No. 9 Jalan 16/11 off Jalan Damansara, di sini, pada 15 April 2014.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam T. L. Chen memohon hukuman denda yang minimum dengan alasan anak guamnya mengaku bersalah sekaligus menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Dalam kes ini, anak guam saya berusia 62 tahun dan dikategorikan sebagai warga emas. Malah, dia insaf dan ingin bertanggungjawab dengan membuat pengakuan salah pada hari ini. Oleh itu, mohon mahkamah memberikan peluang kedua kepada anak guam saya agar dia dapat menghabiskan sisa hidupnya dengan aman,” katanya.
Shazreen Nadia bagaimanapun memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh mengambil kira kepentingan awam memandangkan terdapat lebih 100 laporan berhubung kejadian ini.
“Walaupun tiada kecederaan terhadap mangsa namun jumlah kerugian dialami mangsa jelas menunjukkan keseriusan kes ini. Oleh itu, mohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya. — Bernama